Air Selangor peruntuk RM200k bantu golongan kurang berkemampuan | DagangNews Skip to main content

Air Selangor peruntuk RM200k bantu golongan kurang berkemampuan

air selangor

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memperuntukkan dana sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan dua inisiatif untuk membantu golongan kurang berkemampuan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 'Sesama Mara'.

Inisiatif tersebut adalah Kursus Kemahiran Perantis Tukang Paip dan Perkhidmatan Pembaikan Paip Dalaman.

Pengarah dan Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha dan komitmen pihaknya untuk menyuntik semangat dalam kalangan komuniti yang memerlukan bantuan agar terus maju ke hadapan.

"Kursus Kemahiran Perantis Tukang Paip ini merupakan usaha sama antara Air Selangor dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) untuk membantu rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang telah hilang pekerjaan akibat COVID-19. 

Abas Abdullah
Abas Abdullah

 

"Setiap peserta yang terpilih untuk kursus ini akan menjalani latihan yang merangkumi pembelajaran secara teori sebanyak 25% dan praktikal 75%," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

ABM merupakan pusat penilaian dan latihan yang bertauliah oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Peserta yang berjaya menamatkan latihan dan lulus penilaian akan dianugerahkan Sijil Pencapaian ABM dan Sijil Kecekapan Kemahiran Pembinaan (SKKP) CIDB yang mengiktiraf kemahiran peserta.

Tambah beliau, inisiatif kedua iaitu Perkhidmatan Pembaikan Paip Dalaman untuk golongan kurang berkemampuan di tiga kawasan sama iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula memberi perhatian kepada mereka yang mempunyai masalah kewangan dan memerlukan perkhidmatan pembaikan paip dalaman.

Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM), Dolkipli Saian, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri dan Ir Abas Abdullah semasa gimik pelancaran
Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM), Dolkipli Saian (kiri), Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri (kanan) dan Ir Abas Abdullah (dua dari kanan) semasa gimik pelancaran.

 

"Keutamaan ini diberikan kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Kos Rendah dan Perumahan Luar Bandar. Kerja-kerja pembaikan akan dilakukan oleh tukang paip bertauliah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Air Selangor juga akan membantu memberikan panduan kepada individu yang terlibat untuk melakukan pemeriksaan di premis sendiri dalam mengenalpasti lokasi kebocoran dalaman," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pelaksanaan inisiatif itu juga merupakan sebahagian usaha pihaknya untuk meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap bekalan Air Selangor adalah bersih dan selamat untuk digunakan terus daripada paip.

"Pendaftaran bermula hari ini dan akan ditutup pada 20 Oktober 2020. Borang pendaftaran pula boleh dimuat turun dari laman web Air Selangor serta 10 pejabat khidmat pelanggan Air Selangor untuk borang salinan fizikal," tambahnya. - DagangNews.com