KUALA LUMPUR 16 Feb - AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) menandatangani memorandum persefahaman tanpa ikatan untuk memajak sekurang-kurangnya 100 buah pesawat eVTOL VX4 daripada Avolon.
Pesawat eVTOL ini akan membolehkan AirAsia merevolusikan perjalanan udara dengan menyediakan mobiliti udara yang lebih maju kepada penumpang baharu.
Sebagai tambahan kepada pesawat eVTOL, Avolon, melalui syarikat sekutu pelaburan dan inovasinya Avolon-e, akan bekerjasama dengan AirAsia untuk mengkomersialkan pesawat tersebut dengan pelepasan sifar dan membangunkan platform mobiliti udara dalam bandar (UAM) yang terkemuka dalam industri di Asia Tenggara.
AirAsia juga akan memanfaatkan aplikasi mudah alih perjalanan dan gaya hidupnya, airasia Super App, untuk membantu menyokong dan membina platform perkongsian perjalanan eVTOL dengan Avolon.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama antara Avolon dan AirAsia ini dan potensi untuk perjalanan udara jarak pendek dengan pelepasan sifar di Asia Tenggara.
"Kami percaya VX4 akan menjadi pesawat pilihan eVTOL dan kami teruja kerana bakal menjadi syarikat penerbangan pertama untuk melancarkan perkhidmatan menggunakan pesawat ini di Asia Tenggara.
"Kami juga berbesar hati untuk melanjutkan kerjasama dengan Avolon, yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam menghantar pesanan kepada pelanggannya dan sejajar dengan visi kami untuk menjadi platform perjalanan dan penghantaran sehenti terkemuka di Asean," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada Jun 2021, Avolon telah menempah 500 buah pesawat VX4 eVTOL daripada Vertical Aerospace (NYSE: EVTL) (Vertical), bernilai AS$2 bilion (RM8.37 bilion).
Sejak mengumumkan pesanan itu, Avolon telah menempah 250 buah pesawat VX4 untuk Gol dan Grupo Comporte di Brazil, sehingga 100 buah pesawat untuk Japan Airlines dan sekurang-kurangnya 100 buah pesawat untuk AirAsia.
Avolon kini telah berjaya menempah sehingga 90% daripada pesanannya yang menandakan permintaan untuk pesawat VX4 daripada syarikat penerbangan terkemuka dunia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avolon, Domhnal Slattery berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan AirAsia yang berkongsi visi untuk merevolusikan masa depan perjalanan udara.
"Tony ialah perintis penerbangan yang telah membina AirAsia menjadi salah satu syarikat penerbangan terkemuka di dunia dan kini juga telah mencipta Super App yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan tumpuan kepada perjalanan.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan Tony dan seluruh pasukan AirAsia dalam perjalanan eVTOL mereka," katanya. - DagangNews.com