KUALA LUMPUR 7 Julai - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. mengemaskini elaun bagasi kabinnya dengan memberi kebenaran kepada penumpang untuk membawa dua bagasi kabin yang berat keseluruhannya tidak melebihi 7 kilogram (kg) berkuat kuasa hari ini.
AirAsia dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, kebenaran itu adalah berikutan pembukan semula serta permintaan tinggi terhadap syarikat penerbangannya.
"Penumpang dibenarkan bawa satu beg kabin bersaiz kurang daripada 56cm (tinggi), 36cm (lebar) dan 23cm (panjang) atau ukuran maksimum 115cm yang dapat disimpan di ruangan simpanan atas dalam kabin. Satu lagi beg komputer riba atau satu beg kecil yang tidak melebihi 40cm (tinggi), 30cm (lebar) dan 10cm (panjang) atau ukuran maksimum 80cm yang dapat disimpan di bawah tempat duduk hadapan penumpang.
"Mana-mana penumpang yang ingin membawa bagasi lebih daripada had muatan tersebut pula dinasihat untuk membuat pra-tempahan elaun bagasi sebelum penerbangan," jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Pembelian bagasi atau penambahan had muatan boleh dilakukan melalui laman web airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia dalam masa empat jam sebelum penerbangan. - DagangNews.com