Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Sept. - AirAsia Japan Co Ltd (AAJ) dijangka akan menghentikan sementara operasi kumpulannya di Jepun pada Oktober 2020, berdasarkan laporan berita baru-baru ini.
MIDF Research berkata, keputusan tersebut adalah disebabkan oleh prestasi permintaan yang rendah akibat penularan wabak COVID-19.
"Operasi AAJ akan dihentikan pada 1 Oktober 2020 dan berkemungkinan menggangtung perjalanan hingga 24 Oktober 2020.
"Perkara ini melibatkan ketiga-tiga laluan domestiknya yang menghubungkan pangkalan syarikat penerbangan di tengah-tengah Jepun iaitu Chuba ke Sendai, Sapporo dan Fukuoka," jelas MIDF Research.
Pada 2019, AirAsia Japan mencatatkan jumlah pendapatan sekitar RM152.00 juta dengan kerugian operasi berjumlah -RM161.66 juta dan PBT -RM1.74 juta.
Dalam tempoh wabak COVID-19 pula, AAJ tidak terkecuali menerima tempias dengan mengheret penurunan statistik operasi lebih daripada 90% berbanding tahun lalu.
Penularan wabak di Jepun dilihat berada dalam keadaan terkawal sebelum berlakunya gelombang kedua pada Ogos lalu hingga mencatatkan lebih daripada 1,900 kes.
Tambah MIDF Research, pemberhentian operasi itu adalah kali kedua bagi tahun 2020 selepas AAJ mengambil keputusan sama pada April lalu.
Keputusan pada April lalu turut disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.
Susulan itu, MIDF Research turut menjangkakan AirAsia Group akan terus beroperasi dalam keadaan yang mencabar susulan pandemik yang menyebabkan kawalan sempadan dan pelbagai lagi.
"Kami menjangkakan penurunan secara keseluruhan di bawah tahap tahun kewangan 2019. Oleh itu, kami kekalkan anggaran pendapatan tahun kewangan 2020/2021, sementara mengekalkan anggaran pendapatan positif pada tahun kewangan 2022.
"Kami juga kekalkan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM0.40," jelas MIDF Research lagi. -
Isu berkenaan turut mendapat perhatian dan penafian daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes.
"Saya tidak tahu dari mana berita ini datang, tetapi kita sedang membuat penilaian semula terhadap semua operasi.
"Kita harus tunggu dan lihat, tetapi tidak ada perancangan penangguhan AirAsia Japan, ini adalah khabar angin," jelasnya hari ini.- DagangNews.com