KUALA LUMPUR 30 Julai - Airasia melancarkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di ibu pejabatnya, RedQ di Malaysia bermula 30 Julai hingga 1 Ogos ini bagi membantu mempercepat proses vaksinasi dalam kalangan kakitangan industri penerbangan.
Kira-kira 2,500 Allstars bakal menerima vaksin melalui PPV airasia itu yang akan dijalankan oleh petugas kesihatan profesional dari DOC2US, salah satu Rakan Penganjur Penjagaan Kesihatan (HCO) ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Program ini turut disokong oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pengangkutan (MOT).
Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, momentum vaksinasi semakin meningkat di semua pasaran utama dengan Malaysia adalah antara negara ASEAN teratas dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.
Katanya, Thailand pula dijangka memvaksin sekitar 60% rakyatnya dan sekitar 50% di Filipina dan Indonesia pada akhir 2021.
“Amat penting untuk kita memastikan semua orang bekerjasama untuk meningkatkan kapasiti vaksinasi di seluruh negara dan membantu menangani virus ini.
"Dengan program vaksinasi agresif di ASEAN dan di seluruh dunia, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Kesatuan Eropah telah mula membuka kembali sektor ekonomi dan pelancongan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Thailand telah membuka kembali laluan percutian untuk pelancong yang telah divaksin di bawah Phuket Sandbox dan program Samui Plus pada bulan ini dan AirAsia Filipina telah mula beroperasi secara beransur-ansur untuk mencapai hingga 16% kapasiti pra-COVID pada akhir bulan depan.
Selain itu, majoriti Allstars di rantau ini juga telah divaksin atau mendaftar untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin dan semua kru operasi AirAsia dijangka akan divaksin apabila ia kembali beroperasi.
Tony berkata, dengan kadar vaksinasi harian yang kini melebihi 550,000 dan semakin meningkat di Malaysia, negara akan mencapai sasaran dalam masa terdekat.
"Dari apa yang kita lihat di peringkat antarabangsa, jika kita dapat mempercepat dan mencapai vaksinasi hingga 20-30%, kita akan dapat melihat penurunan kes dan meratakan lengkung secara dramatik,” tambahnya.
Beliau berkata, sektor ekonomi dan pelancongan di ASEAN akan kembali kukuh pada akhir 2021 dan di peringkat antarabangsa pada awal 2022.
Malah, Tony juga tetap optimis mengenai masa depan airasia yang kini merupakan syarikat gaya hidup digital berpaksikan perjalanan.
"Airasia bukan lagi sekadar sebuah syarikat penerbangan dan mula melihat beberapa pesaing utama mengambil perhatian dan mengikuti jejak langkahnya yang membuktikan pencapaian syarikat dalam masa 18 bulan yang lepas," katanya.
Selain meletakkan dasar di landasan yang tepat untuk masa depan dan kejayaan syarikat penerbangannya, transformasi airasia sebagai Asean Super App juga memberikan momentum besar dan hasil yang kukuh di semua platform digital, seterusnya mendahului pesaing-pesaingnya untuk menjadi lebih kuat dan berdaya tahan pasca COVID-19. - DagangNews.com