AirAsia mohon lanjutan tempoh pelaksanaan penempatan saham persendirian | DagangNews Skip to main content

AirAsia mohon lanjutan tempoh pelaksanaan penempatan saham persendirian

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Group Berhad menghantar permohonan kepada Bursa Malaysia untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan penempatan saham persendirian dari 2 Ogos hingga 31 Disember 2021. 

 

Perkara itu diumumkan RHB Investment Bank mewakili ahli Lembaga Pengarah AirAsia menerusi makluman di Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pada 21 Januari 2021, syarikat penerbangan itu berhasrat untuk melaksanakan penempatan saham persendirian sehingga 20% daripada jumlah saham yang diterbitkannya untuk menjana hasil kasar sekitar RM454.51 juta.

 

Sebahagian besar daripada jumlah berkenaan iaitu RM146.63 juta dicadangkan untuk penyelesaian pelindungan nilai bahan api, sementara sebanyak RM95.19 juta untuk pembayaran pajakan dan penyelenggaraan kapal terbang.

 

Sebanyak RM76.96 juta lagi diperuntukkan untuk dua unit perniagaan digital di bawah AirAsia Digital Sdn. Bhd. iaitu airasia.com dan BigPay; RM135.57 juta untuk perbelanjaan modal kerja umum; dan RM160,000 bagi anggaran perbelanjaan pelaksanaan penempatan saham persendirian.

 

Pada 3 Februari 2021, AirAsia mengumumkan bahawa Bursa Malaysia telah meluluskan penyenaraian sehingga 668,394,816 saham baharunya, seiring cadangan pelaksanaan penempatan saham persendirian kumpulan. 

 

AirAsia seterusnya pada 19 Februari mendedahkan kumpulan telah melengkapkan penyenaraian penempatan 369,846,852 saham di Papan Utama Bursa Securities, pada kadar RM0.675 sesaham.

 

Peringkat kedua pelaksanaan itu pula dilengkapkan pada 17 Mac 2021, dengan penempatan 100,367,362 saham di Papan Utama Bursa Securities pada kadar RM0.865 sesaham.

 

Setakat 3.38 petang, harga saham AirAsia menyusut 0.61% atau RM0.005 kepada RM0.820. - DagangNews.com