KUALA LUMPUR 14 Mac - airasia Super App melantik Mohamad Hafidz Mohd Fadzil sebagai ketua pegawai eksekutif baharunya bagi menggantikan Amanda Woo berkuat kuasa 1 April 2023.
Pelantikan itu berikutan pengumuman peralihan kepimpinan baru-baru ini di airasia Digital termasuk anak syarikat airasia Super App dan BigPay.
Keutamaan beliau adalah untuk meneruskan visi untuk airasia Super App dan fintech melalui kerjasama yang lebih erat dengan barisan perniagaan Capital A yang lain, termasuk BigPay.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi saya kepercayaan untuk menerajui airasia Super App, serta kepada Amanda Woo, yang telah membawa Super App untuk terus berkembang pesat secara eksponen dalam tempoh singkat dua tahun.
"Saya juga berharap untuk mengembangkan dan membangunkan syarikat dan juga Allstars serta memberikan tumpuan kepada hala tuju strategik syarikat, mengukuhkan kerjasama dan membina hubungan baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dengan pengalamannya yang hampir 30 tahun dalam industri pembayaran, Hafidz mempunyai advokasi yang kuat dalam teknologi pembayaran dan keselamatan dengan memulakan kerjayanya bersama Citi, dengan memegang pelbagai jawatan dalam operasi pembayaran dan perniagaan kad dan berpindah ke Visa sebagai Ketua e-dagang Asia Pasifik dan seterusnya menyertai MasterCard sebelum bersama AirAsia.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam Ekonomi dan Kewangan serta Ijazah Sarjana Kewangan dari Institut Teknologi Diraja Melbourne di Australia.
Ketua Pegawai Eksekutif, airasia Digital, Colin Currie mengucapkan jutaan terima kasih kepada Amanda atas sumbangan dan dedikasinya yang tak terhingga dalam membawa airasia Super App ke peringkat yang terkini.
Beliau berkata, sejak 2012, jelas kelihatan perkembangan perniagaan di seluruh Asean yang telah beliau usahakan dan dalam masa dua tahun ini, beliau telah berjaya meluaskan sayap airaia Super App ke seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia dan juga di Filipina.
"Amanda juga berjaya menambah jumlah pengguna aktif platform tersebut kepada 12 juta pengguna di akhir tahun 2022 serta mengukuhkan nama airasia Super App sebagai ejen pelancongan dalam talian (OTA)," katanya.
airasia Super App adalam perniagaan platform pengembaraan sehenti, e-dagang dan fintech Capital A yang menawarkan pengguna lebih daripada 15 produk dan perkhidmatan melalui Super App.
Dikuasakan oleh data dan teknologi, airasia Super App memanfaatkan ekosistem digitalnya yang terdiri daripada 51 juta pengguna dan 40 juta muat turun untuk menjana pengalaman tanpa gangguan yang telah diperibadikan untuk penggunanya. - DagangNews.com