Untung bersih Genting Plantations pada 3QFY24 meningkat kepada RM83.05 juta tetapi hasil menyusut kesan jualan rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Genting Plantations pada 3QFY24 meningkat kepada RM83.05 juta tetapi hasil menyusut kesan jualan rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Untung bersih Genting Plantations Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) meningkat kepada RM83.05 juta berbanding RM80.51 juta tetapi hasil bagi suku tersebut susut kepada RM718.53 juta berbanding RM775.79 juta.

 

Kumpulan itu berkata, penyusutan hasil itu disebabkan jumlah jualan lebih rendah dalam segmen pembuatan hiliran dengan sebahagiannya dikurangkan harga produk sawit yang lebih tinggi.

 

Katanya, harga minyak sawit mentah kumpulan yang dicatatkan adalah RM3,722 setiap tan, manakala harga isirong sawit adalah RM2,307 setiap tan.

 

"Pengeluaran buah tandan segar (BTS) kumpulan pada suku tersebut adalah lebih rendah tahun ke tahun, disebabkan keadaan cuaca buruk dan trend tanaman yang rendah. Di samping itu, program penanaman semula yang berterusan di ladang-ladang di Malaysia menyebabkan penurunan lagi dalam pengeluaran.

 

"EBITDA segmen perladangan untuk 3QFY24 adalah lebih rendah tahun ke tahun berikutan volum jualan produk sawit yang lebih rendah yang membawa kepada tahap inventori yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Prospek kumpulan untuk sepanjang tahun ini akan dipacu prestasi segmen perladangan utamanya, yang seterusnya bergantung kepada pergerakan harga produk sawit dan pengeluaran BTS.

 

Katanya, harga minyak sawit semasa akan dipengaruhi kebimbangan terhadap bekalan serta jangkaan mandate biodiesel Indonesia daripada B35 kepada B40. 

 

"Tanpa keadaan cuaca di luar jangkaan, kumpulan menjangkakan pengeluaran BTS  pulih pada suku akhir tahun. Walaupun pemulihan tanaman, pengeluaran untuk tahun penuh 2024 dijangka sedikit lebih rendah tahun ke tahun," katanya.

 

Sementara itu, segmen hartanah kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada kepelbagaian penawaran hartanahnya bagi memenuhi permintaan pasaran.

 

Premium Outlets juga terus menambah baik portfolio penyewanya untuk meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelanggan bersama-sama dengan tambahan yang meningkatkan nilai.

 

Sementara itu, pembinaan Jakarta Premium Outlets sedang berjalan seperti yang dijadualkan, dengan operasi dijangka bermula pada separuh pertama 2025. - DagangNews.com