Hasil CCK dijangka lebih kukuh pada prestasi kewangan akan datang, penganalisis semak naik penarafan kepada "beli"  | DagangNews Skip to main content

Hasil CCK dijangka lebih kukuh pada prestasi kewangan akan datang, penganalisis semak naik penarafan kepada "beli" 

CCK Freshmart yang menjual hasil segar dan makanan sejuk beku - Gambar hiasan dari laman web rasmi CCK
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - CCK Consolidated Holdings Bhd dijangka mencatat pendapatan yang lebih kukuh pada prestasi kewangan akan datang susulan keputusan suku ketiganya, kata penganalisis. 

 

Public Investment Bank dan Apex Securities yang meliputi syarikat berpangkalan di Sarawak itu menyemak naik taraf CCK kepada "beli" daripada "pegang" berikutan keputusan yang lebih baik daripada jangkaan.

 

Apex Securities menetapkan harga sasaran (TP) RM1.70 bagi sesaham CCK, PublicInvest pula menentukan TP sebanyak RM1.76.

 

PublicInvest berkata, suku akhir 2024 CCK dijangka lebih kukuh secara berurutan didorong oleh perbelanjaan perayaan.

 

"Kami percaya perbelanjaan pengguna akan disokong oleh peningkatan dalam pasaran buruh dan pelarasan gaji," katanya. 

 

"Selain daripada pendapatan yang kukuh, firma ekuiti swasta, Creador yang melabur ke dalam unit Indonesia syarikat itu juga telah menambah keyakinan pelabur.

 

"Selain ternakan ayam, syarikat itu juga mengendalikan rangkaian kedai di Malaysia Timur yang menjual hasil segar dan makanan sejuk beku serta makanan diproses seperti roti burger dan sosej," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan segmen ayam itik akan memperoleh keuntungan yang lebih tinggi, disokong oleh kos makanan yang lebih rendah, hasil daripada harga jagung dan kacang soya yang lebih lemah serta peningkatan nilai ringgit.

 

Bagi Apex Securities, penurunan harga jagung akan menampung harga kacang soya yang lebih mahal yang mampu menstabilkan kos input perniagaan ayam itik CCK.

 

"Selanjutnya, syarikat itu dijangka meneruskan perbelanjaan kakitangan yang lebih tinggi daripada kenaikan gaji minimum, mengekalkan marginnya.

 

"Kini, 80% daripada tenaga kerja CCK, kira-kira 2,500 pekerja memperoleh gaji minimum.

 

“Kami percaya CCK mampu menanggung kos ini kerana persaingan yang lebih rendah di Malaysia Timur, pelbagai campuran produk berbanding pasar raya kecil lain dan statusnya sebagai pasaran segar terbesar di rantau itu,” kata Apex Securities. - DagangNews.com