AirAsia tingkatkan kekerapan kepada 3,281 penerbangan mingguan ke 10 negara ASEAN | DagangNews Skip to main content

AirAsia tingkatkan kekerapan kepada 3,281 penerbangan mingguan ke 10 negara ASEAN

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 9 Ogos - AirAsia meningkatkan kekerapan penerbangan domestik dan antarabangsanya dengan kini mengendalikan sebanyak 3,281 penerbangan mingguan merentasi 10 negara ASEAN. 

 

AirAsia berkata peningkatan kekerapan penerbangan itu akan menggalakkan pertumbuhan dalam sektor pelancongan dan ekonomi di rantau ASEAN.

 

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra mengumumkan kekerapan penerbangan itu semasa sambutan Hari ASEAN Ke-57. 

 

“AirAsia Malaysia akan mengendalikan 45% daripada penerbangan mingguan ini ke negara ASEAN, merangkumi 78 laluan sehingga akhir 2024," kata beliau semasa majlis tersebut yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri. 

 

Pada 2023, AirAsia Group telah membawa lebih 61 juta penumpang, dengan lebih 33% daripada mereka melakukan perjalanan dalam ASEAN. 

 

Selain itu, menurut Fareh, AirAsia telah memperkenalkan laluan yang pelbagai dalam pasaran pelancongan di rantau ASEAN, kira-kira 60% daripada destinasinya adalah baharu dan unik.  

 

Hari ASEAN 2024 bertemakan "Connected and Resilient Community," adalah selari dengan misi AirAsia untuk menghubungkan 10 negara ASEAN. 

 

Fareh juga berkata AirAsia akan menyambung semula laluan Kuala Lumpur ke Da Lat, Vietnam, dengan empat penerbangan mingguan bermula 1 November 2024. 

 

Menurut beliau, kekerapan penerbangan yang ditingkatkan dan laluan yang disambung semula itu dijangka dapat meningkatkan pelancongan dengan ketara. 

 

“Pilihan perjalanan yang banyak akan menarik kedatangan ramai pelancong, meningkatan perbelanjaan dalam perniagaan tempatan dan menciptakan pekerjaan baharu dalam sektor pelancongan," ujarnya. 

 

Sementara itu, AirAsia MOVE menandatangani perjanjian kerjasama dengan Persatuan Pelancongan ASEAN (ATA) semasa majlis itu. 

 

Perjanjian itu juga akan memperkukuhkan sokongannya melalui pengesahan, meningkatkan jangkauannya kepada persatuan yang menjadi ahli, dan menjalinkan kerjasama dengan Organisasi Pelancongan Nasional (NTO) ASEAN bagi memperoleh ASEAN Explorer Pass, produk langganan perjalanan utama AirAsia MOVE.- DagangNews.com