Akibat pergolakan politik, KLCI 'tergelincir' di bawah 1,500 mata | DagangNews Skip to main content

Akibat pergolakan politik, KLCI 'tergelincir' di bawah 1,500 mata

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Pergolakan politik tanahair yang berlaku ketika ini semakin memburukkan keadaan pasaran yang sememangnya rapuh apabila indeks utama FBM KLCI terus tergelincir di bawah paras 1,500 mata dalam dagangan hari terakhir Julai.

 

Ia menyaksikan indeks itu merosot sehingga 18.33 mata atau 1.21% kepada 1,494.60 mata ekoran berlakunya tekanan jualan secara berterusan dalam kalangan pelabur.

 

Bursa tempatan menjejaki kelemahan pasaran serantau Asia lain yang mencatat prestasi terburuk sejak Mac 2020 berikutan kebimbangan pelabur terhadap tindakan tegas China terhadap sektor pendidikan, hartanah dan teknologi.

 

Bagaimanapun, bagi pasaran tempatan, ia nampaknya kurang bernasib baik. Selain kebimbangan terhadap kes jangkitan COVID-19 yang kekal tinggi, situasi politik terus mempengaruhi sentimen.

 

Ketidakstabilan politik di dalam negara mencapai 'kemuncak' apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan dukacita terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung Ordinan Darurat.

 

Semakin mengeruhkan keadaan apabila persidangan Parlimen ditangguhkan rentetan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara yang sepatutnya menjadi sidang khas untuk membentangkan Pelan Pemulihan Negara dalam memerangi wabak itu.

 

Dalam penutupan petang ini, kaunter rugi mengatasi untung pada 665 berbanding 300 manakala 407 kaunter tidak berubah dengan 4.12 bilion saham diniagakan bernilai RM2.72 bilion. 

 

Mengulas mengenai pasaran hari ini, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata,  indeks utama diheret turun oleh situasi di China meskipun jaminan diberikan pengawal selia negara itu terhadap bank pelaburan.

 

"Pada masa sama, pelabur juga khuatir terhadap jangkitan kes yang masih melebihi 15,000 walaupun kadar vaksinasi mencecah rekod tertinggi 556,404 dos pada Khamis.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan KLCI akan diniagakan antara 1,500 hingga 1,520 mata memandangkan musim hasil korporat sudah bermula dan sebarang perkembangan positif akan kembali melonjakkan pasaran," katanya kepada DagangNews.com.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, saham perladangan seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd. dan Sime Darby Plantation Bhd. masing-masing mendahului kaunter rugi susut 74 sen kepada RM18.52 dan 23 sen kepada RM3.24.

 

Selain itu, saham Petronas Gas Bhd. juga ditutup rendah kepada RM15.24 setelah susut 40 sen.

 

Kaunter untung pula didahului dengan saham Genetec Technology Bhd. menokok RM3.18 kepada RM22.82 diikuti SAM Engineering & Equipment (M) Bhd. naik RM2.48 kepada RM10.80.

 

Bagi saham aktif pula, Sersol Bhd. mendahului dagangan ditutup tinggi pada 55 sen setelah menokok 0.07 sen diikuti Green Ocean Corp. Bhd. naik 0.005 sen kepada 3.5 sen. 

 

Mengenai pasaran kewangan pula, Adam berkata, ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila mata wang utama itu lemah disebabkan kebimbangan para pelabur terhadap kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS yang mana pasaran buruh memerlukan sedikit masa sebelum Rizab Persekutuan mempertimbangkan untuk mengetatkan dasar monetari.

 

"Minggu hadapan, ringgit dijangka diniagakan melebihi paras RM4.20 apabila para pelabur terus menganalisis perkembangan yang berlaku di Parlimen dan kebimbangan terhadap varian Delta," jelasnya.

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.2200/2250 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.2360/2410. - DagangNews.com