Al Jazeera akan dipanggil polis | DagangNews Skip to main content

Al Jazeera akan dipanggil polis

KUALA LUMPUR 7 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pihak pengurusan dan wartawan Al Jazeera berhubung laporan mereka mengenai pengendalian pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika usaha membendung penularan COVID-19 di negara ini. 

Siasatan yang bakal dilaksanakan itu mengikut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan perkara tersebut hari ini. 

Semalam, pihak polis telah memulakan siasatan berhubung laporan berita berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam persidangan akhbar semalam turut mencabar Al Jazeera untuk mengemukakan bukti berhubung laporan yang disiarkan. 

Dalam kenyataan sama, Ismail Sabri turut menuntut organisasi media antarabangsa itu untuk memohon maaf setelah menyiarkan laporan yang telah memburukkan nama Malaysia. 

Jelasnya, laporan itu bukan sahaja memberi kesan buruk ke atas Malaysia, malah ia dilaporkan dengan tidak wajar, mengelirukan dan berniat tidak baik.

Al Jazeera pada 3 Julai lalu telah memuat naik sebuah video dokumentari mengenai pengalaman PATI di Malaysia ketika usaha pengekangan penularan COVID-19 di negara ini.

Video yang berdurasi 25 minit dan 50 saat itu memaparkan sisi buruk Malaysia dengan memesongkan kenyataan bahawa negara ini telah menindas golongan PATI yang didakwa bukan jenayah. 

Video yang telah dimuat naik menerusi platform Youtube itu setakat ini meraih lebih 1 juta tontonan.  - DagangNews.com