KUALA LUMPUR 4 Okt - Alibaba Group menjalinkan kerjasama dengan Sarawak Infomation Systems (Sains) iaitu penyedia rumusan sistem ICT terkemuka Sarawak bagi melancarkan program awan persendirian berteknologi tinggi yang dikuasakan oleh Alibaba Cloud.
Program awan persendirian Alibaba Cloud pertama di Malaysia itu adalah antara usaha penting bagai mempercepatkan transformasi digital dan sebahagian usaha membawa perkomputeran awan termaju ke dalam perkhidmatan awam, perniagaan, organisasi serta institusi pendidikan di Malaysia Timur.
Kemajuan dalam teknologi mudah alih dan teknologi awan juga telah meningkatkan jangkaan pelanggan Sains dari segi kebolehpercayaan aplikasi dan pemulihan bencana. Sains telah memutuskan untuk melaksanakan pemulihan automatik pantas bagi aplikasi pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sains, Busiai Seman berkata, infrastruktur baharu yang dibina oleh Alibaba Cloud direka untuk skala hiper dan keupayaan pemulihan bencana gred kewangan yang menyokong pengembangan dengan standard keselamatan yang tinggi.
Beliau berkata, dengan penempatan dua zon pemulihan bencana Apsara Stack di Sarawak; Sains dan pelanggan utamanya, Kerajaan Sarawak boleh menikmati faedah aplikasi yang berjalan aktif merentasi dua zon secara serentak.
"Kami memutuskan untuk melaksanakan platform berasaskan awan persendirian dengan keupayaan pemulihan bencana automatik daripada rakan kongsi kami seperti Alibaba Cloud bagi memastikan kami dapat menyampaikan ketenangan fikiran dan keselamatan dengan cepat sambil memenuhi dasar data pelanggan utama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengurus Besar Malaysia, Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang berkata, rumusan Apsara Stack menggabungkan keupayaan teknikal terkemuka di rantau Asia-Pasifik dengan keupayaan operasi yang komprehensif, membolehkan Sarawak mengambil lonjakan digital lebih jauh dan lebih pantas dalam penggunaan teknologi awan.
"Kami juga yakin bahawa kerjasama kami dengan Sains akan memacu inovasi, kecekapan dan pertumbuhan di rantau ini," katanya.
Kerjasama yang baru ditandatangani itu merupakan satu lagi komitmen jangka panjang Alibaba Cloud bagi memperkasakan Malaysia sebagai ekonomi nilai tambah tinggi. - DagangNews.com