Alibaba.com perkenal alat AI perkasa PMKS di Malaysia dan global | DagangNews Skip to main content

Alibaba.com perkenal alat AI perkasa PMKS di Malaysia dan global

Presiden Alibaba.com, Kuo Zhang (kiri) menekankan kepentingan melibatkan PKS dari negara-negara kurang maju menyertai era AI, dalam sesi yang dikendalikan oleh James Howe (kanan), Ketua Kesambungan Digital di ITC, diadakan bersempena sambutan Hari PKS.
Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Jun - Alibaba.com, platform edagang perniagaan ke perniagaan (B2B) di bawah Alibaba International Digital Commerce Group, mengukuhkan komitmennya untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh dunia dengan meningkatkan alat kecerdasan buatannya (AI).

 

Diumumkan sempena Hari PMKS, inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan peluang perdagangan dan mempelbagaikan rangkaian pembekal, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menjelang Hari PMKS pada 27 Jun, Alibaba.com berkata ia setakat ini telah menarik penggunaan sekitar 30,000 perniagaan di platformnya.

 

Ini sejajar dengan ulang tahun ketujuh Hari PMKS Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengiktiraf peranan penting PMKS dalam mencapai matlamat pembangunan mampan dan sumbangan ekonomi global mereka.

 

Presiden Alibaba.com Kuo Zhang, yang mengambil bahagian dalam Kajian Global Bantuan dan Perdagangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), menekankan kepentingan memastikan tiada PMKS di negara kurang membangun yang dibiarkan keciciran dalam era AI.

 

Zhang berkata bahawa antara 20 negara teratas yang paling kerap menggunakan alatan AI Alibaba.com, kira-kira 10 daripadanya ialah negara sedang membangun, mencerminkan capaian antarabangsa platform yang luas dan komitmen terhadap pertumbuhan inklusif.

 

“Sebagai pemain utama dalam sektor swasta, Alibaba.com berbesar hati untuk bekerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Pusat Dagangan Antarabangsa (ITC) PBB sejak 25 tahun lalu, menyokong PKS di peringkat global.

 

"Kami menumpukan untuk mengembangkan pangkalan pembekal global kami untuk meliputi 100,000 pembekal dalam tempoh tiga tahun akan datang, secara ringkasnya, kami sedang membina rantaian bekalan global oleh dan untuk PMKS yang memanfaatkan AI," kata Zhang.

 

Survei terbaharu yang dikendalikan oleh Alibaba.com menunjukkan 25 peratus-30 peratus PMKS yang ditinjau menggunakan AI setiap hari.

 

"Alat ini telah membawa kepada peningkatan 37 peratus dalam pendedahan produk, sekali gus meningkatkan peluang perniagaan," katanya.

 

Beliau berkata 70 peratus daripada cadangan pengoptimuman yang disediakan oleh alatan AI telah diterima oleh PMKS, menunjukkan manfaat praktikal dan kepercayaan dalam penyelesaian termaju ini.

 

 

alibaba

 

 

Pelan strategik Alibaba.com termasuk memperluaskan sokongan untuk PMKS di negara membangun. Ia menyasarkan untuk membantu 100 PMKS dari Afrika ke platformnya tahun ini.

 

Selain itu, daripada 500 acara dan seminar global yang dirancang untuk pembekal tahun ini, 300 akan dihoskan di negara membangun, memberikan sokongan dan peluang penting untuk pertumbuhan.

 

Platform ini meningkatkan rantaian bekalan digitalnya dengan menghubungkan PMKS dengan pelbagai pembekal global. Pembeli kini boleh mendapatkan produk daripada kelompok khusus di wilayah seperti Asia Timur Laut, Asia Tenggara dan Eropah. - DagangNews.com