KUALA LUMPUR 17 April - Bursa Malaysia menyaksikan minggu ketiga berturut-turut aliran masuk asing bersih dengan peningkatan kepada RM69.5 juta pada minggu lalu, walaupun terdapat kecenderungan dagangan negatif di pasaran.
MIDF Research berkata, pelabur asing adalah penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan.
Katanya, belian bersih RM112.2 juta pada Khamis berjaya mengimbangi jualan bersih untuk baki hari dalam seminggu.
Pelabur asing mencatat jualan bersih RM27.3 juta pada Isnin, RM8.4 juta pada Selasa dan RM23.7 juta pada Rabu.
"Khamis merupakan aliran masuk bersih terbesar, dicatatkan pada RM112.2 juta, diikuti aliran masuk bersih Jumaat sebanyak RM16.8 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pelabur institusi kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu itu, dengan jumlah RM3.6 juta, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya iaitu RM50.1 juta.
"Mereka memulakan minggu itu dengan aktiviti belian bersih tetapi masing-masing merekodkan jualan bersih RM48.7 juta dan RM22.3 juta pada Khamis dan Jumaat. Setakat ini, pelabur institusi telah menjadi pembeli bersih selama 11 daripada 15 minggu, dengan jumlah terkumpul RM1.82 bilion."
Firma itu berkata, peruncit tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, berjumlah RM73.1 juta.
Walaupun pembelian bersih mereka sebanyak RM6.8 juta pada hari Rabu dan RM5.6 juta pada hari Jumaat, mereka adalah penjual bersih untuk sepanjang minggu.
“Setakat tahun ini, peruncit tempatan telah menjual bersih selama lapan daripada 15 minggu, dengan jumlah terkumpul RM50.2 juta.
"Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 11.1%, institusi tempatan sebanyak 15.5% dan pelabur asing sebanyak 20.5%," katanya. - DagangNews.com