KUALA LUMPUR 2 Ogos – Kelab rasmi penyokong Liverpool FC di Malaysia, All Reds Malaysia bakal melipat gandakan aktiviti untuk ahli-ahli bagi musim Liga Perdana Inggeris 2022/2023, terutama acara menonton siaran langsung perlawanan melibatkan LFC.
Presiden ARM, Muzili Aznor Musa berkata, setelah tidak dapat aktif berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara pada tahun 2020-2021, musim ini ARM merancang program yang lebih jitu.
Musim lalu, kata beliau, ARM berkesempatan mengadakan dua acara tontonan iaitu perlawanan akhir Piala FA dan Piala Juara-Juara Eropah, yang menerima sambutan menggalakkan daripada ahli-ahli.
“Kita mendapat permintaan supaya mengadakan secara kerap acara seumpamanya bagi musim ini, merangkumi perlawanan menentang pasukan terkenal iaitu Manchester City, Chelsea, Arsenal dan sudah tentunya Manchester United.
“Bergantung kepada waktu sepak mula di United Kingdom, ARM akan mengatur acara sedemikian.
“Bukan sahaja ARM di Lembah Klang tetapi juga empat wilayah lain iaitu Pantai Timur, Utara, Selatan dan Borneo juga digalakkan mengadakan acara serupa,” katanya kepada DagangNews.com selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) kesembilan ARM di Kuantan pada 30 Julai lalu.
Bersempena AGM tersebut juga, satu perlawanan bola sepak antara wilayah turut diadakan, menyaksikan enam pasukan berentap di padang sukan Balok, dekat Kuantan.
Pada sebelah malam, AGM diadakan di sebuah hotel di bandar ini yang dipilih mengikut giliran, yang diselangi dengan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan kelab tersebut.
Ia disusuli acara menonton perlawanan Community Shield antara LFC dan Manchester City pada tengah malam.
Dalam ucapan pembentangannya, Muzili memberitahu, berdasarkan angka yang dikumpul ketika itu, kira-kira 90% ahli sudah memperbaharui keahlian ARM.
“Terima kasih kepada ahli yang hadir dan mereka yang memperbaharui keahlian bagi musim 2022/23 walaupun dua tahun tanpa aktiviti fizikal,” ujarnya.
Muzili juga menyeru ahli-ahli agar sentiasa menyokong dan turut serta dalam apa sahaja aktiviti di wilayah masing-masing.
“Ahli-ahli tidak perlu tunggu AJK untuk mengadakan acara. Mereka juga boleh tampil turut serta menyumbang idea dan tenaga untuk menjayakan sesuatu program. Kami di jawatankuasa induk akan memberi sokongan serupa,’’ ujarnya.
Mengenai sambutan ulang tahun kesepuluh ARM, beliau berkata, keutuhan dan kejituan kelab itu adalah kerana insan-insan yang menjadi ahli dan AJK berkhidmat dengan penuh minat dan kekeluargaan, tanpa mengharap pulangan kewangan.
“Kami juga mahu menarik lebih ramai golongan profesional atau veteran untuk turut sama aktif di dalam kelab kerana pengalaman dan kemahiran mereka amat bermanfaat untuk kelab.
“ARM ini bukan sekadar berkumpul menonton perlawanan beramai-ramai tetapi juga boleh berperanan sebagai platform untuk melaksanakan kerja kebajikan, pendidikan atau kesukanan.
“Malah ahli dan AJK silih berganti sejak 10 tahun lalu, dan yang menjayakannya ialah individu itu sendiri yang dapat menjadikan ahli lain di dalam ARM sebagai sahabat baik dan seterusnya bekerja dengan rasa gembira dan akrab,’’ jelasnya.
DagangNews.com yang merupakan portal berita perniagaan berbahasa Melayu adalah antara penaja utama All Reds Malaysia turut memberi komitmen untuk terus menyokong pelaksanaan rancangan aktiviti kelab bagi musim ini. – DagangNews.com