Alliance Bank tidak kenakan faedah terkumpul jika peminjam terima moratorium | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank tidak kenakan faedah terkumpul jika peminjam terima moratorium

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance) memberi jaminan bahawa bank itu tidak akan mengenakan faedah atau keuntungan terkumpul kepada peminjam yang menerima moratorium enam bulan atau bantuan bayaran.

 

Alliance menekankan komitmennya untuk menyokong individu dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan menawarkan moratorium atau pengurangan 50% dalam bayaran ansuran pinjaman bagi tempoh enam bulan, sejajar pengumuman Pelan Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

“Kami faham bahawa individu dan perniagaan berdepan tekanan kewangan dan kami mahu membantu mereka. Sebagai tambahan kepada pakej bantuan bayaran standard (enam bulan moratorium dan 50% pengurangan bayaran ansuran), pelanggan boleh membentuk sendiri pakej bantuan bayaran pinjaman mereka," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance, Joel Kornreich dalam satu kenyataan.

 

Joel Kornreich
Joel Kornreich

 

Dalam masa sama, rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) peminjam juga tidak akan terjejas sekiranya mereka memohon untuk pakej Bantuan Pelepasan Bayaran Bank oleh Alliance sebelum 31 Disember 2021.

 

Tambah Alliance, bank itu telah memperkenalkan pelbagai kaedah inovatif untuk individu dan perniagaan menerima bantuan pelepasan bayaran dengan mudah. 

 

Ini antaranya dengan menyediakan pengisian e-borang menerusi laman web Alliance, saluran WhatsApp rasmi atau menghubungi Pusat Talian bank untuk mendapatkan bantuan. 

 

“Kami menggesa pelanggan untuk menghubungi kami secepat mungkin untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan,” tambah Kornreich.


Individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan bantuan pelepasan bayaran balik pinjaman boleh layari laman web www.alliancebank.com.my, menghubungi bank menerusi WhatsApp atau Pusat Talian di 03-5516 9988. - DagangNews.com