Kotak bantuan mengandungi barangan keperluan seperti makanan dan keperluan harian diserahkan kepada 655 penerima di Lembah Klang.
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov - Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menyumbang sejumlah RM1.6 juta untuk bantuan COVID-19 kepada komuniti yang terjejasas di Lembah Klang dan Sabah selain petugas barisan hadapan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Dana yang sebahagiannya hasil sumbangan kakitangan serta ejen Allianz digunakan oleh jabatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kumpulan, Allianz4Good, bagi menyediakan bahan makanan, pek makanan dan keperluan asas untuk golongan terjejas selain peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan.
Sumbangan itu diberikan kepada 665 penerima di Lembah Klang yang disalurkan melalui Save Environment Save Ourselves, 200 keluarga di Semporna melalui Borneo Komrad dan 60 keluarga di Telipok melalui Zero Hunger.
Ketua Allianz4Good, Ng Siew Gek berkata, syarikat akan terus memberikan sokongan kepada kumpulan komuniti ini kerana mereka merupakan golongan yang paling terkesan dan terdedah kepada kesan sosial serta ekonomi akibat COVID-19.
“Allianz Malaysia menyedari bahawa usaha tanggungjawab korporatnya lebih penting pada waktu ini, apabila terdapat risiko kemiskinan yang meningkat dan kesan jangka panjang kepada golongan komuniti kurang bernasib baik.
“Sebagai sebuah syarikat insurans, kami menjalankan perniagaan perlindungan. Kami bertemu ramai individu setiap hari dan mendengar masalah mereka, terutamanya mengenai kesihatan fizikal dan kewangan mereka.
"Kami sedar, ramai yang sedang bergelut akibat kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan dan ia lebih menjejaskan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.
Baru-baru ini, kumpulan CSR berkenaan menggunakan dana sebanyak RM18,750 untuk menyediakan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Selayang dan RM48,200 digunakan untuk membeli PPE.
Pada 2020, Allianz Malaysia telah menyumbang lebih RM3.16 juta menerusi Allianz4Good untuk menyediakan bekalan PPE, peralatan perubatan dan barangan untuk meningkatkan kapasiti wad bagi pekerja barisan hadapan.-DagangNews.com