Amanah Ikhtiar lanjut tempoh bayaran balik pinjaman hingga 31 Ogos | DagangNews Skip to main content

Amanah Ikhtiar lanjut tempoh bayaran balik pinjaman hingga 31 Ogos

Lajim Ukin

Lajim Ukin

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membuat keputusan melanjutkan lagi tempoh pembayaran balik pinjaman (moratorium) secara automatik kepada semua Sahabat AIM bermula 1 hingga 31 Ogos 2021.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, pembayaran balik pinjaman tanpa tunai (CMCCS) secara dalam talian masih boleh dibuat bagi Sahabat AIM yang ingin membuat pembayaran sepanjang tempoh moratorium itu.

 

Menurutnya, pembayaran tersebut sekali gus akan diguna untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal.

 

"Dengan penangguhan ini, AIM telah memberi moratorium selama 12 minggu atau tiga bulan bermula dari tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuatkuasa secara penuh iaitu pada 1 Jun 2021 lalu. 

 

"Ia membabitkan nilai sebanyak RM577.3 juta iaitu  RM192.4 juta sebulan, yang memberi manfaat kepada seramai 378,507 Sahabat di seluruh Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, semua Mesyuarat Pusat (MP) di seluruh Negara juga ditangguh sehingga tarikh yang sama. 

 

Susulan itu, AIM akan mengeluarkan pekeliling MP yang baharu untuk dilaksanakan dengan mengambil kira norma baharu bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 serta menjaga kesejahteraan Sahabat dan kakitangan pihaknya.

 

Tambahnya, Sahabat AIM juga boleh memohon pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal pinjaman apabila MP dibuka bagi setiap pembayaran yang dibuat di sepanjang tempoh moratorium.

 

Bagi kutipan TKKS setengah tahun kedua 2021, beliau berkata, ia akan dibuat apabila MP dibuka semula. 

 

"Bagi Sahabat yang mencarum untuk setengah tahun pertama 2021, akan kekal dilindungi dan akan menerima manfaat seperti biasa jika berlaku kecelakaan atau bencana sepanjang tempoh moratorium berkuatkuasa.

 

"AIM juga akan menutup operasi di semua cawangan seluruh Malaysia bagi tempoh yang sama. Ia turut membabitkan Pusat Latihan AIM di Taiping, Perak; di Sabah dan Sarawak. 

 

"Manakala bagi Pejabat Wilayah dan Ibu Pejabat, akan kekal beroperasi mengikut peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara," ujar beliau lagi.

 

Keputusan itu dibuat memandangkan keadaan Pandemik COVID-19 masih belum reda serta keperihatinan terhadap kesukaran yang dialami oleh Sahabat-Sahabat AIM yang terkesan teruk akibat pandemik.

 

Katanya lagi, Sahabat AIM juga diminta sentiasa berhubung dengan Pegawai Amanah di blok masing-masing untuk sebarang maklumat yang tepat selain melayari laman web dan Facebook AIM.

 

Perkara itu penting bagi mengikuti pelbagai kursus dan bengkel yang diadakan secara dalam talian terutamanya bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang pemasaran dan perniagaan yang sesuai dengan keadaan semasa.

 

"Sahabat juga dinasihatkan mendaftar dengan MySejahtera untuk mendapatkan vaksin COVID-19 yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara untuk kebaikan bersama," katanya. - DagangNews.com