Amanah Ikhtiar Malaysia bantu Tengku Zaizah kembangkan butik pakaian, kedai alat perkakasan | DagangNews Skip to main content

Amanah Ikhtiar Malaysia bantu Tengku Zaizah kembangkan butik pakaian, kedai alat perkakasan

KEMAMAN 14 Nov - Berbekalkan semangat tidak mudah mengalah menjadi kunci kejayaan kepada usahawan Tengku Zaizah Tengku Ahmad yang kini berjaya memiliki dua butik pakaian di UTC Kuala Terengganu serta sebuah kedai alat perkakasan di Bandar Baru Kerteh.

 


 Usahawan berusia 49 tahun mula berjinak dalam bidang perniagaan pakaian dikenali Lyana Collection di Kerteh pada 2003.
 

"Ketika itu saya hanya ada sebuah kedai kecil di Bandar Baru Kerteh dan berusaha untuk menaik taraf kedai saya itu sebelum saya berpindah di Mesra Mall Kerteh pada tahun 2008.

 
"Ketika itu saya kekurangan modal sehinggalah berjaya membuka butik di Mesra Mall Kerteh itu atas bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang meluluskan pinjaman sebanyak RM30,000," katanya.
 

Katanya, bagi mengembangkan lagi perniagaannya, beliau mengambil keputusan membuka sebuah kedai 'Hardware' di Bandar Baru Kerteh pada 2014.

 

aim


 

"Saya ke pejabat AIM Terengganu berbincang dengan kakitangan AIM dan bersyukur diluluskan segera pinjaman sebanyak RM50,000 kerana saya berjaya menyelesaikan pinjaman pertama saya tepat pada masanya.
 

"Dalam tempoh setahun saya bersyukur kerana berjaya menyelesaikan kedua-dua pinjaman dengan AIM tepat dengan masanya," katanya.
 

Beliau juga berjaya membuka dua lagi butik pakaian di UTC Paya Bunga, Kuala Terengganu.
 

"Kesan pendemik COVID-19 yang melanda negara turut mendatangkan kesan kepada perniagaan saya. Tambahan sewa premis ketika itu dari RM16,000 sebulan dinaikkan  pihak pengurusan dengan kadar sewa kepada RM22,000 menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menutup perniagaan di situ.

 

aim


 

"Alhamdulilah selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan PKP,  perniagaan hardware saya dikenali PRZ Bina Enterprise yang dibantu suami, Rosli Awang di Bandar Baru Kerteh dan kedua-dua butik pakaian saya di Kuala Terengganu mula meningkat naik.
 

"Insya Allah pada tahun hadapan saya akan membuka sebuah lagi cawangan kedai pakaian saya di Mayang Mall Kuala Terengganu dengan modal RM100,000 yang sudah saya sediakan," katanya.
 

Katanya, dia sangat berterima kasih di atas bantuan pinjaman dan tunjuk ajar daripada pihak AIM sehingga kesemua perniagaannya maju.
 

aim

 

"Di kesempatan ini saya ingin menasihati rakan-rakan yang membuat pinjaman dengan AIM supaya dapat menjelaskan pinjaman dengan tempoh yang tepat demi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan lain menggunakan pinjaman demi memajukan perniagaan mereka," katanya. - DagangNews.com