KUALA LUMPUR 2 Mac - AmanahRaya Investment Management Sdn Bhd (ARIM), anak syarikat milik penuh Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) mencapai satu lagi kejayaan dengan melancarkan secara rasmi dana unit amanah ketujuhnya, AmanahRaya Syariah Income Fund (ARSIF) hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, selepas memperkenalkan dana itu pada 5 Mei 2022, dana tersebut telah berkembang dari segi saiz, melepasi paras RM200 juta.
“ARSIF dilancarkan untuk melengkapkan barisan produknya dan menyediakan penyelesaian pelaburan yang komprehensif kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggannya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena pelancaran rasmi ARSIF di Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel and Residences di sini hari ini, lapor Bernama.
Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong, diiringi Ahmad Feizal, Pengerusi ARIM Datuk Ramli Chik dan Pengarah Urusan ARIM Mohamad Shafik Badaruddin.
Ahmad Feizal berkata, ARSIF melabur dalam bon Islam jangka pendek hingga jangka sederhana dengan tempoh matang kurang daripada lima tahun.
“Sebagai pelaburan berisiko rendah berdasarkan turun naik yang minimum, ARSIF dilihat sebagai penyelesaian pelaburan yang menarik paling sesuai untuk pelabur yang mempunyai profil risiko rendah hingga sederhana,” katanya.
Selain menyediakan pelabur dengan pilihan pelaburan yang boleh dipercayai, Ahmad Feizal berkata pelancaran ARSIF turut mencerminkan usaha berterusan AmanahRaya dan anak syarikatnya ARIM dalam membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan mereka.
Beliau berkata AmanahRaya, sebagai sebuah kumpulan, komited terhadap peranannya dalam perancangan kekayaan dan harta pusaka yang merangkumi bukan sahaja perkhidmatan wasiat, amanah dan pentadbiran harta pusaka, tetapi juga perancangan pelaburan dan pengurusan risiko pelaburan.
Sementara itu, Steven Sim berkata ARSIF adalah tambahan yang penting kepada pelbagai penawaran pasaran modal negara, memberikan pelabur peluang tambahan untuk memasuki atau melabur dalam pasaran bon Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk menggalakkan persekitaran pelaburan yang berterusan dengan membina ekosistem kewangan yang bercirikan keterbukaan, ketelusan dan inovasi untuk memastikan pasaran terus kukuh dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan keadaan ekonomi.
Majlis pelancaran itu dihadiri oleh 300 orang terdiri daripada pelanggan ARIM, ejen korporat dan ahli perbankan pelaburan.
ARIM juga merupakan syarikat pengurusan aset berlesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan. - DagangNews.com