KUALA LUMPUR 23 Feb - AMMB Holdings Berhad (AmBank) mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 12% kepada RM452.6 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 (3QFY23) berbanding RM403.3 juta pada tahun sebelumnya didorong pendapatan faedah lebih tinggi.
Hasil kumpulan itu juga naik kepada RM1.23 bilion daripada RM1.18 bilion, disebabkan pendapatan faedah yang lebih tinggi sebanyak RM1.33 bilion daripada RM1.01 bilion untuk 3QFY22.
Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 31 Disember 2022 (9MFY23), kumpulan itu memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM1.30 bilion, iaitu 19% lebih tinggi daripada RM1.11 bilion untuk 9MFY22, berbanding peningkatan hasil sederhana sebanyak 0.85% kepada RM3.58 bilion daripada RM3.54 bilion.
Dari segi perbelanjaan, AmBank berkata, ia meningkat sedikit tahun ke tahun kepada RM1.54 juta pada 9MFY2023, dengan nisbah kos kepada pendapatan (CTI) sebahagian besarnya tidak berubah pada 43.2%, daripada 43.4% pada 9MFY22.
Keuntungan sebelum peruntukan (PBP) juga meningkat 1.4% kepada RM2.03 bilion. Untuk operasi berterusannya, PBP meningkat 10.4%, didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam pendapatan.
Bagi pulangan tahunan ke atas ekuiti, ia meningkat kepada 10.1%, daripada 9.2% untuk 9MFY2022.
Pinjaman kasar dan pembiayaan meningkat 5.3% kepada RM126.3 bilion, daripada RM120.0 bilion setahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya berbesar hati untuk melaporkan kumpulan itu berjaya merekodkan hasil berdaya tahan dengan pertumbuhan keuntungan serta pendapatan yang mampan walaupun berdepan maslaah makroekonomi.
Beliau berkata, bahagian utama menunjukkan prestasi yang baik, disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang kukuh dan pengembangan NIM (margin faedah bersih)
“Berpegang teguh pada komitmen kami untuk terus menyampaikan nilai kepada semua pihak berkepentingan, kami akan terus berusaha untuk memperkukuh lagi kualiti perkhidmatan serta penyampaian kami untuk semua pelanggan serta bersedia untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan pada 2023," katanya. - DagangNews.com