AmBank jalin kerjasama dengan Persatuan Usahawan Maju Malaysia bagi memperkasa perkembangan PKS | DagangNews Skip to main content

AmBank jalin kerjasama dengan Persatuan Usahawan Maju Malaysia bagi memperkasa perkembangan PKS

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - AmBank menjalinkan kerjasama selama dua tahun dengan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) bagi meningkatkan kesedaran kewangan selain membolehkan mereka mendapat akses yang lebih mudah kepada pembiayaan.

 

PUMM merupakan organisasi tidak berasaskan keuntungan dengan lebih 3,000 pemilik perniagaan daripada pelbagai sektor perniagaan termasuk pembinaan, teknologi maklumat, logistik, makanan dan minuman serta pengiklanan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, kerjasama itu menyaksikan bank itu menyediakan pakej pemerkasaan kepada ahli PUMM dengan memanfaatkan platform yang dimiliki persatuan itu untuk berhubung dengan ahli mereka dan rakan perniagaan lain bagi memacu pemerolehan baharu kepada bank (NTB) sepanjang tempoh itu.

 

"Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan kami dalam membantu PKS (perusahaan kecil dan sederhana) untuk bangkit semula, memulihkan keadaan dan berkembang terutamanya ketika perniagaan masih dalam fasa pemulihan akibat kesan wabak.

 

"Kerjasama dengan PUMM adalah selaras dengan agenda pembangunan dan pemerkasaan PKS, kami sentiasa berusaha untuk memupuk hubungan baik antara bank dan pelanggan didorong oleh kerjasama ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Presiden Kebangsaan PUMM, Tan Ley Seong berkata, kerjasama itu hadir pada masa yang tepat kerana ia menyediakan ahli PUMM dengan penyelesaian kewangan mampan yang mencukupi untuk perniagaan mereka.

 

"Banyak PKS yang dimiliki oleh ahli PUMM sedang mencari peluang rentas sempadan dan Kumpulan AmBank berada pada kedudukan yang baik untuk membantu persatuan kami dalam mengembangkan jangkauan mereka dan merealisasikan cita-cita pengembangan mereka,” katanya.

 

AmBank berkata, ia akan memanfaatkan platform PUMM untuk berhubung dengan ahli mereka dan rakan perniagaan mereka yang lain untuk memacu pemerolehan baharu kepada bank semasa tempoh perkongsian itu.

 

Selaras dengan pelancaran Kad Perniagaan Visa AmBank, ahli PUMM akan ditawarkan pulangan tunai istimewa sekali sahaja di samping faedah yang diperoleh daripada nilai biasa. - DagangNews.com