KUALA LUMPUR 20 Okt - AmInvestment Bank Research menjangkakan pendapatan teras suku ketiga Bursa Malaysia lebih tinggi sebanyak RM58 juta didorong hasil dagangan pasaran sekuriti lebih kukuh.
Ia dijangka menjadikan pendapatan teras bagi sembilan bulan tahun ini sebanyak RM170 juta, tidak termasuk pembalikan satu kali peruntukan SST sebanyak RM28 juta pada suku kedua tahun ini.
Katanya, pada suku ketiga 2023, nilai purata dagangan harian (DATV) untuk ekuiti meningkat kepada RM2.1 bilion berbanding RM1.8 bilion pada suku kedua tahun ini dan RM1.6 bilion pada suku kedua 2022.
Pada Ogos dan September 2023, DATV lebih RM2 bilion kerana kenaikan kadar faedah yang agresif dalam ekonomi maju, terutamanya di AS.
Sehingga 13 Oktober 2023, DATV untuk pasaran sekuriti berada pada RM2 bilion lebih rendah daripada anggaran kami sebanyak RM2.2 bilion bagi FY23.
Pada 3Q23, dagangan oleh pelabur asing meningkat kepada 31.5% daripada jumlah nilai sekuriti yang didagangkan dalam pasaran berbanding 29.2% pada suku kedua tahun ini.
Sebaliknya, campuran saham yang didagangkan oleh pelabur runcit lebih rendah sedikit pada 27% manakala bahagian dagangan pelabur institusi merosot kepada 41.6% pada suku ketiga tahun ini berbanding 43.4% pada suku sebelumnya.
"Kami mengekalkan jangkaan hasil dagangan pasaran sekuriti yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini berbanding separuh pertama.
"Walau bagaimanapun, sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati.
"Pasaran kewangan berkemungkinan terus tidak menentu, disumbangkan ketidatentuan kadar faedah AS, harga komoditi, tekanan dalam sektor hartanah China yang masih belum melihat pemulihan yang kukuh serta ketegangan geopolitik yang berterusan dengan yang terbaharu konflik Israel-Palestin," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM6.80 sesaham. - DagangNews.com