AmInvestment jangka segmen pembangunan hartanah kekal menyumbang secara positif kepada Suria Capital | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka segmen pembangunan hartanah kekal menyumbang secara positif kepada Suria Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - Segmen pembangunan hartanah dijangka terus menyumbang secara positif kepada pendapatan Suria Capital Holdings Berhad dengan fasa kedua Jesselton Quay Central dengan nilai pembangunan kasar RM350 juta akan dilancarkan pada 2HFY23.

 

AmInvestment Bank Research bagaimanapun, kekal berhati-hati terhadap prospek untuk operasi pelabuhan disebabkan ketidaktentuan ekonomi global.

 

"Walaupun menghadapi cabaran jangka pendek, kami optimis mengenai prospek jangka panjang bagi Sabah, yang merupakan negeri pengeluar minyak sawit dan minyak mentah utama.

 

"Tambahan pula, pemindahan perkilangan oleh syarikat multinasional keluar dari China ke Asia Tenggara memberi petanda baik bagi pertumbuhan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar sebagai hab pemindahan kapal terulung bagi kawasan pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-IndonesiaMalaysia-Filipina," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, keuntungan bersih teras FY22 sebanyak RM49 juta adalah selaras dengan jangkaan, mengatasi sedikit unjuran pendapatan FY22 firma sebanyak 2% dan anggaran konsesnsus sebanyak 4%.

 

Katanya, pada asas tahun ke tahun, hasil pelabuhan menyusut sebanyak 14% kepada RM52 juta pada FY22 disebabkan daya pengeluaran kargo yang lebih rendah (-6%).

 

Firma itu berkata, keadaan itu ditambah dengan pendapatan faedah bersih yang lebih rendah mengakibatkan penurunan 17% dalam keuntungan pada FY22.

 

"Sementara itu, keuntungan bersih teras 4QFY22 menyusut kepada RM10 juta, terkesan oleh pengeluaran yang lebih rendah dalam segmen kontena dan kargo.

 

"Dari sudut positif, pendapatan pembangunan hartanah meningkat kepada RM21 juta disebabkan pertukaran kelayakan sekali sahaja dalam bentuk unit tempat letak kereta dalam projek Jesselton Quay," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap kumpulan itu dengan harga wajar (FV) RM1.15 sesaham. - DagangNews.com