AmInvestment jangka tender MRT3 akan dianugerahkan pada separuh kedua 2023 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka tender MRT3 akan dianugerahkan pada separuh kedua 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mac - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) menjangkakan penganugerahaan tender bagi pakej utama dan subkontrak Transit Aliran Massa 3 (MRT3) berlangsung pada separuh kedua 2023.

 

Firma itu berkata, selepas selesai pemeriksaan awam skim MRT3 dan kajian cadangan penjajaran serta kesesuaian penjajaran semula.

 

Katanya, kerajaan yakin dapat mengurangkan kos MRT3 sebanyak 10% di bawah RM45 bilion berbanding RM50 bilion yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

 

"MRT Corp kini sedang menjalankan kajian terperinci dan komprehensif mengenai cadangan penjajaran MRT3, termasuk kesesuaian penjajaran semula.

 

"Memandangkan kerajaan berusaha untuk mengurangkan kos projek, kami berpendapat penjajaran semula besar-besaran MRT3 tidak mungkin dilakukan.

 

"Ketika ini, tiga pakej kerja itu ialah CMC301 (5.8km bertingkat), CMC302 (28km bertingkat dan 0.7km di bawah tanah) dan CMC303 (6.3km bertingkat dan 10.1km di bawah tanah)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu juga menjangkakan tiada sebarang projek baharu akan diumumkan pada masa hadapan.

 

Katanya, kebimbangan terhadap pembiayaan kekal disebabkan oleh kedudukan fiskal negara yang menjangkau disebabkan oleh wabak dan perbelanjaan bantuan besar-besaran untuk mengurangkan kesan dan hutang negara yang meningkat sebanyak RM1.2 trilion tidak termasuk liabiliti.

 

Firma itu berkata, margin operasi akan berdepan tekanan dengan harga keluli meningkat 4% kepada RM2,788 satu tan pada Januari 2023 berbanding RM2,686 satu tan pada November 2022 manakala harga simen meningkat kepada RM19.23 untuk 50kg lebih tinggi berbanding RM17.83 bagi 50kg pada Januari 2021.

 

"Kami menjangkakan harga keluli akan meningkat kerana pembukaan semula China dijangka meningkatkan permintaan untuk logam.

 

"Selain itu, levi berbilang peringkat untuk tenaga kerja asing akan diperkenalkan pada 2023, yang mungkin membawa kepada kos buruh yang lebih tinggi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com