AmInvestment kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Suria Capital | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Suria Capital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - AmInvestment Bank Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Suria Capital Holdings Berhad terutama selepas indeks volum eksport turun 13% kepada 149.5 mata pada Februari 2023 berbanding 171.4 mata pada Disember 2022.

 

Firma itu berkata, indeks volum import jatuh 10% kepada 164.1 mata pada Februari tahun ini daripada 182.1 mata pada Diember tahun lalu.

 

Katanya, eksport minyak sawit dari Malaysia Timur turun 19% atau 1.9 juta tan pada 1QFY23 berbanding 2.3 juta tan pada 4QFY22.

 

Walaupun eksport minyak sawit Malaysia Timur merosot dari bulan ke bulan pada 1QFY23, namun ia berada dalam unjuran firma itu kerana pengeluaran minyak sawit biasanya lebih lemah dari segi musim pada suku pertama.

 

"Kami bagaimanapun kekal optimis terhadap prospek jangka panjang bagi Sabah kerana ia merupakan negeri pengeluar minyak sawit dan minyak mentah utama.

 

"Penempatan semula pangkalan perkilangan oleh syarikat multinasional dari China ke Asia Tenggara memberi petanda yang baik bagi pertumbuhan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar sebagai hab pemindahan kapal utama bagi kawasan pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, di Pelabuhan Bersepadu Teluk Sapangar Suria, kerja-kerja pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) dijadualkan siap pada 2025.

 

Katanya, kapasiti pengendalian pelabuhan akan meningkat sebanyak 2.5x kepada 1.25 juta TEU daripada 500,000 TEU setiap tahun. 

 

Sementara itu, pembesaran Terminal Minyak Teluk Sapangar (SBOT) akan siap pada September 2023 membolehkan pelabuhan itu mengendalikan dua kapal pada satu-satu masa.

 

"Kumpulan itu juga telah mengemukakan permintaan untuk semakan semula kadar tarif dan telah diluluskan pada dasarnya oleh kerajaan negeri sejak 2020 untuk pelaksanaan pada masa akan datang.

 

"Selain itu, rundingan dengan kerajaan negeri untuk lanjutan 30 tahun kepada konsesi semasa telah dimulakan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM1.15 sesaham. - DagangNews.com