AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap IHH Healthcare, FV RM6.89 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap IHH Healthcare, FV RM6.89

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap IHH Healthcare Berhad dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM6.89 sesaham.

 

Firma itu berkata, saranan itu adalah berdasar perbincangan antara kumpulan itu dengan Lembaga Sekuriti dan Bursa India (SEBI) bagi untuk mendapatkan kelulusan untuk meneruskan tawaran tender mandatori (MTO) bagi meraih tambahan 26% saham Fortis daripada pemegang sahamnya yang sedia ada.

 

Kumpulan itu mengesahkan mereka bersedia untuk meneruskan MTO sebaik sahaja kumpulan itu menerima kebenaran SEBI.

 

"Bagaimanapun, Daiichi Sankyo Co (Daiichi) memfailkan saman undang-undang untuk mendapatkan semula anugerah timbang tara sebanyak AS$500 juta (RM2.29 bilion) daripada pengasas Fortis, Malvinder dan Shivinder Singh.

 

"Mahkamah Agung India mengeluarkan perintah status quo pada 14 Disember 2018, yang menghalang mana-mana pihak yang terlibat dalam pertikaian itu daripada mengambil sebarang tindakan lanjut sehingga perkara itu dapat diselesaikan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada lagi kes perundangan yang belum selesai di peringkat Mahkamah Agung dan dalam penghakiman bertulis bertarikh 22 September 2022 tetapi tiada kesalahan ditemui dalam pelaburan Fortis IHH.

 

Bagaimanapun, katanya, Mahkamah Tinggi diberi budi bicara untuk memutuskan bahawa audit forensik diperlukan untuk perjanjian FortisRHT.

 

"Secara keseluruhan, kami melihat pengumuman ini secara positif kerana IHH sepatutnya dapat memperoleh pendapatan tambahan daripada 26% kepentingan dalam Fortis.

 

"Sekiranya MTO berjaya, kami menganggarkan bahawa pegangan Fortis tambahan boleh meningkatkan sedikit pendapatan FY23F IHH sebanyak 3.8%.

 

"Kami percaya kejayaan MTO, akan meningkatkan pegangan ekuiti IHH dalam Fortis daripada 31.1% semasa kepada 57.1% bagi meningkatkan prestasi kewangan Fortis," katanya. - DagangNews.com