KUALA LUMPUR 25 Okt - AmInvestment Bank Research berpandangan neutral terhadap Duopharma Biotech Berhad berhubung lanjutan kontrak pembelian produk baharu yang diluluskan (APPL) kepada 4QFY23 yang akan tamat tempoh dalam masa dua bulan.
Katanya, kebiasaanya Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan banyak berbelanja bagi perolehan ubat sepanjang suku keempat kerana ia adalah tempoh penutupan akaun kementerian itu.
Keadaan itu membuktikan bahawa kumpulan itu berdepan suku keempat yang lemah secara bermusim sebelum ini.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan FY23 hingga FY25 dengan andaian kami bahawa kontrak APPL baharu yang lebih bermakna akan diberikan pada 1QFY24.
"Kami juga percaya bahawa objektif utama lanjutan kontrak itu adalah bagi mendapatkan bekalan untuk kemudahan KKM sebelum Duopharma memasuki kontrak jangka panjang dengan sektor swasta atau pelanggan asing," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu menerima lanjutan kontrak selama enam bulan lagi bagi membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan.
Tempoh perjanjian pembekalan produk yang disenaraikan telah dilanjutkan lagi sehingga 31 Disember 2023 atau tarikh lain seperti yang diarahkan oleh kerajaan, yang mungkin lebih awal atau lewat.
Firma penyelidikan itu berkata, sebelum ini Duopharma telah dianugerahkan kontrak APPL untuk tempoh tiga tahun dari 2017 hingga 2019.
Katanya, sebelum kontrak itu tamat tempoh pada Jun 2023, kontrak dilanjutkan tiga kali iaitu 25 bulan pertama hingga 31 Disember 2021, tambahan 12 bulan hingga 31 Disember 2022, dan tambahan enam bulan hingga 30 Jun 2023.
"Kami mengekalkan saranan beli dengan harga wajar (FV) RM1.69 sesaham," katanya. - DagangNews.com