AmInvestment positif terhadap prospek jangka panjang Inari Amertron disokong peningkatan permintaan produk berkaitan AI | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap prospek jangka panjang Inari Amertron disokong peningkatan permintaan produk berkaitan AI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - AmInvestment Bank positif terhadap prospek jangka panjang Inari Amertron Bhd disokong peningkatan permintaan bagi produk berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta pelaburan langsung asing di negara ini.

 

Firma penyelidikan itu turut memberikan penarafan alam sekitar sosial dan tadbir urus (ESG) empat bintang yang diterjemahkan peada premium 3% kepada harga wajar (FV) Inari.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan keseluruhan hasil kumpulan yang lebih baik bagi jangka panjang didorong keperluan kandungan frekuensi radio yang lebih tinggi untuk telefon pintar generasi baharu, permintaan lebih tinggi untuk penerima optik yang digunakan dalam pusat data dan inovasi produk baharu yang berterusan.

 

"Dari perspektif penilaian, saham kumpulan itu pada masa ini didagangkan pada P/E FY25 yang menarik sebanyak 30 kali, berbanding kemuncak tiga tahunnya melebihi 40 kali ganda," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, pendapatan datacom Inari meningkat sebanyak 9% tahun ke tahun untuk sembilan bulan terkumpul berakhir 31 Mac 2024 (9MFY24), didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk penerima optik 800G yang didorong oleh lonjakan keperluan AI dan pelayan pusat data, yang sedang berusaha ke arah kadar penghantaran isyarat yang lebih tinggi iaitu 1.6 terabait sesaat berbanding 800 gigabait sesaat pada masa ini.

 

"Kumpulan itu merujuk bahawa barisan pengeluaran untuk cip memori telah dipasang dan akan meningkatkan kadar pengeluaran sebanyak 10,000 unit sehari kepada kapasiti maksimum 60,000 unit sehari menjelang suku ketiga 2024.

 

"Tujuan peningkatan secara beransur-ansur adalah untuk memantau hasil dan kualiti pengeluaran.

 

"Pihak pengurusan menjangkakan produk ini menjana pendapatan FY24 sebanyak RM100 juta hingga RM150 juta, yang sudah termasuk dalam andaian jualan kami," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan FV RM4.36 sesaham. - DagangNews.com