AmInvestment positif terhadap prospek MISC selepas kejayaan raih kontrak jangka panjang | DagangNews Skip to main content

AmInvestment positif terhadap prospek MISC selepas kejayaan raih kontrak jangka panjang

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - AmInvestment Bank Research positif terhadap prospek pendapatan MISC Berhad terutama selepas kejayaannya meraih kontrak jangka panjang untuk sewaan dua kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) selama 10 tahun.

 

Firma itu berkata, kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam segmen penyelesaian dan aset gas yang menyumbang 74% keuntungan operasi bagi 1HFY22. 

 

Katanya, pada akhir 2QFY22, kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 30 kapal pengangkut LNG dan menjangkakan penghantaran dua lagi kapal baharu menjelang 1QFY22.

 

"Kami juga yakin dengan prospek jangka pendek untuk segmen LNG dengan kadar sewa tempat dan masa yang tinggi berikutan bekalan kapal yang ketat di pasaran serta permintaan yang lebih kukuh secara bermusim untuk LNG menjelang musim sejuk," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Polaris LNG Three Pte. Ltd. dan Polaris LNG Four Pte. Ltd. memperoleh kontrak sewaan jangka panjang dengan SeaRiver Maritime LLC (SRM) bagi dua kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) bagi tempoh selama 10 tahun. 

 

Perjanjian tersebut menjadikan kontrak dengan anak syarikat milik penuh ExxonMobil itu kepada empat kapal LNG. 

 

Melalui anak syarikat itu juga, MISC menandatangani perjanjian dengan pembuat kapal terkemuka untuk pembinaan kapal pengangkut LNG di Korea Selatan.

 

Firma itu berkata, anugerah itu menandakan hubungan yang erat antara MISC dan Exxon Mobil, menjadikan jumlah kontrak dengan pemain utama itu kepada empat kapal.

 

Pada Oktober 2019, MISC telah memperoleh kontrak sewa masa selama 15 tahun dengan SeaRiver untuk dua syarikat pengangkut LNG dengan anggaran nilai kontrak sebanyak AS$711 juta (RM3.3 bilion) yang dijadualkan dihantar menjelang 1QFY23.

 

"Difahamkan kapal-kapal itu akan dilengkapi dengan teknologi seperti enjin X-DF 2.1 dengan kawalan pintar oleh ekzos kitar semula(iCER) dan sistem pelinciran udara yang akan membawa kepada jejak karbon yang lebih rendah, selaras dengan matlamat kumpulan untuk mencapai bersih sifar pelepasan karbon menjelang 2050," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan nilai wajar (FV) RM7.99 sesaham. - DagangNews.com