KUALA LUMPUR 22 Sept - AmInvestment Bank Research mengunjurkan keputusan kewangan Allianz Malaysia Berhad bagi 3QFY22 lebih kukuh berbanding 2QFY22 berdasarkan pertumbuhan premium bertulis kasar (GWP) yang positif bagi perniagaan insurans am dan hayat kumpulan itu.
Firma itu berkata, pada 6MFY22 kumpulan itu menyaksikan pertumbuhan sebanyak 13.2% untuk GWP bagi perniagaan am Allianz General Insurance Company (AGIC) mengatasi industri insurans am yang mencatatkan perkembangan 9.6%.
"Momentum itu dijangka dapat dikekalkan pada 3QFY22 disokong penguasaan pasaran AGIC sebanyak 80% untuk produk kemalangan diri (PA), yang dijual kepada golongan B40 di bawah Program Perlindungan Tenang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, tuntutan untuk perniagaan insurans am bertahan dengan baik manakala peningkatan dalam tuntutan perubatan baru-baru ini yang dicatatkan kumpulan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia selaras dengan pembukaan semula ekonomi.
Katanya, tunggakan penghantaran kereta baharu daripada tempahan awal akibat pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka menyokong pertumbuhan premium motor.
"Pada 2QFY22 kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 16 sen sesaham biasa dan 19.2 sen sesaham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) berjumlah RM60.8 juta yang dibayar pada 5 Ogos 2022.
"Allianz berada di landasan tepat untuk pembayaran dividen interim kedua bagi FY22 yang dijangka membawa jumlah dividen, termasuk ICPS, kepada RM240-300 juta untuk tahun kewangan berkenaan," katanya.
Firma menyukai Allianz kerana AGIZ menguasai pasaran sebanyak 13.4 dan menduduki ranking teratas dalam industri insurans am selain memberi tumpuan kepada produk berkaitan pelaburan dengan perlindungan membuatkan perniagaan insurans hayatnya tidak begitu terkesan dengan Piawaian Pelaporan Kewangan (FRS 17) bermula Januari 2023.
Katanya, kepelbagaian portfolio dan saluran penyampaian untuk perniagaan insurans am dan hayat menjadi petanda positif untuk meningkatkan nilai perniagaan kumpulan.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM17.40, lebih tinggi berbanding RM17.10 sebelum ini," katanya. - DagangNews.com