AmInvestment unjur permintaan produk pengguna PPB Group bertambah baik bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur permintaan produk pengguna PPB Group bertambah baik bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - AmInvestment Bank Research mnengunjurkan permintaan untuk produk pengguna PPB Group Berhad bertambah baik bagi FY23 walaupun kumpulan B40 mengalami peningkatan kos sara hidup.

 

Firma itu berkata, kerajaan menyediakan pelbagai sokongan dalam membantu mereka mengurangkan tekanan itu dan kumpulan itu juga tidak bercadang untuk meningkatkan harga bagi produk roti mereka.

 

Pada masa sama, firma itu menyatakan bahawa kumpulan itu juga tidak bimbang dengan impak daripada ketegangan geopolitik melibatkan Rusia-Ukraine seperti sebelum ini kerana harga komoditi di dalam pasaran semakin stabil selain pengguna sudah menyesuaikan diri dengan normal baharu.

 

"Kumpulan itu bagaimanapun bimbang dengan keadaan cuaca kerana ia akan membuatkan kos bahan mentah menjadi lebih mahal daripada biasa.

 

"Sebagai contoh, jika pengeluaran gandum berprotein tinggi di Australia terjejas kerana kemarau, kumpulan itu perlu mendapatkan bekalan dari negara lain dan mungkin harganya lebih mahal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: PPB Group jangka peningkatan sehingga 38% kos utiliti kesan kenaikan tarif elektrik

 

Firma itu percaya bahawa tenaga elektrik menyumbang 20% hingga 30% daripada kos pengeluaran dan mengurangkan kesan tarif elektrik yang lebih tinggi, kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada cara untuk meningkatkan kecekapan operasi.

 

Sementara itu, firma itu berkata, bahagian filem dan pameran dijangka menunjukkan prestasi yang baik pada FY23, disokong oleh naungan dan perbelanjaan pawagam yang lebih tinggi.

 

Filem blockbuster yang dijangka keluar pada tahun ini termasuk Mission Impossible, Flash dan Aquaman 2 manakala filem tempatan yang akan dikeluarkan tahun ini termasuk Polis Evo 3 dan Malbatt.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM19.40 sesaham. - DagangNews.com