KUALA LUMPUR 4 Okt - Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO) mengekalkan unjuran inflasi pada paras 3.1% untuk Malaysia bagi baki 2023, walaupun negara sedang mengalami kenaikan harga beras import dan kekurangan bekalan beras baru-baru ini.
Walaupun berdapan isu makanan ruji, badan pemikir itu terus melihat bahawa kadar inflasi Malaysia akan terus menurun kepada 2.6% pada 2024 berbanding 3.3% pada 2022.
Ketua ekonomi AMRO, Khor Hoe Ee berkata, unjuran itu mempertimbangkan bahawa kadar inflasi Malaysia telah berkurangan lebih cepat kepada 2.5% pada Ogos 2023 serta usaha kerajaan untuk menangani isu beras.
"Dari segi inflasi, saya rasa ia turun lebih cepat daripada jangkaan, 3.1% (ramalan) kami sangat dekat dengan ambang Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mereka juga menjangkakan inflasi akan turun tahun depan.
"Kami tahu bahawa harga beras meningkat dengan agak drastik di Malaysia dan kerajaan sedang mengambil langkah untuk mengimbangi kesannya," katanya semasa taklimat maya mengenai prospek pertumbuhan AMRO Asean+3 2023, hari ini.
Sementara itu, kerajaan pada awal minggu ini mengumumkan subsidi dan beberapa langkah bagi menangani harga beras kesan kebimbangan orang ramai terhadap kenaikan kos dan kekurangan bekalan.
Selain mengekalkan unjuran kadar inflasi Malaysia, AMRO juga mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk Malaysia pada 4.2% tahun ini terutamanya disebabkan oleh aktiviti ekonomi negara yang kukuh.
“Malaysia menunjukkan prestasi yang baik, kami lihat asas untuk Malaysia agak kukuhdengan DDI (pelaburan langsung domestik) dan FDI (pelaburan langsung asing) serta pemulihan dalam pembuatan, jadi kami tidak melihat sebarang perubahan ramalan pertumbuhan pada masa ini,” katanya. - DagangNews.com