KUALA LUMPUR 9 Ogos - Andorra Healthcare Bhd memeterai perkongsian strategik bersama Crewstone International bagi menerima pembiayaan sebanyak RM 150 juta bertujuan untuk menyokong pengembangan infrastruktur hospitalnya, sekali gus meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin pesat.
Andorra berkata, pembiayaan itu akan digunakan untuk memperluaskan pelbagai kemudahan di hospital, termasuk menambah peralatan perubatan terkini, meningkatkan kapasiti katil, serta memperkasa perkhidmatan penjagaan pesakit.
“Dengan pengembangan ini, Andorra berhasrat untuk terus menjadi penyedia penjagaan kesihatan yang unggul di rantau ini, sambil memastikan hospital ini dapat menampung lebih ramai pesakit serta menyokong keperluan penjagaan kesihatan masa hadapan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Andorra, Dr. Khamsiah Muda berkata perkongsian ini menekankan komitmen bersama kami untuk menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan dan memastikan kemudahan perubatan kami adalah antara yang terbaik di rantau ini.
“Kepakaran dan sokongan kewangan mereka akan membolehkan kami mempercepatkan rancangan pembesaran hospital, yang penting untuk menyampaikan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada pesakit kami," ujar beliau.
Di samping itu, Crewstone International Sdn. Bhd., sebuah firma pelaburan global, membawa pengalaman yang luas dalam membiayai projek penjagaan kesihatan berskala besar.
Oleh itu, kerjasamanya mencerminkan keyakinan mereka terhadap visi Andorra dalam mencapai kecemerlangan penjagaan kesihatan dan dedikasi mereka dalam menyokong inisiatif yang memberikan kesan positif yang berkekalan kepada komuniti.
Selain itu, Pengarah Pelaburan Crewstone International Sdn Bhd, Wong Keng Fai berkata, perkongsian itu bukan sahaja akan memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan Andorra, tetapi juga akan menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan pesakit.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Andorra untuk merealisasikan potensi penuh pengembangan hospital ini,” ujar beliau.
Sementara itu, Andorra berkata, projek pengembangan itu dijangka bermula pada suku keempat tahun 2024 dan dijangka siap menjelang suku keempat tahun 2027. - DagangNews.com