PETALING JAYA 4 Julai – Gerakan koperasi negara yang menghampiri usia 100 tahun di
Malaysia kekal berperanan memberi manfaat kepada anggotanya dan memberi pendekatan efektif
bagi membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup dalam mendepani kesan ekonomi berikutan
pandemik COVID-19.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Dato' Abdul Fattah Abdullah berkata, beliau yakin dan percaya gerakan koperasi negara akan terus menyumbang kepada kestabilan sosioekonomi masyarakat dan negara dalam menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi yang melanda seluruh dunia pada ketika ini.
Menurutnya, misi ini yang dibawa sejak sekian lama adalah selari dengan tema sambutan Hari Koperasi Antarabangsa 2021 yang disambut pada 3 Julai 2021 iaitu ‘Rebuild Better Together’. Tema ini dipilih bagi
memperlihat bagaimana warga koperasi di seluruh dunia menghadapi krisis pandemik COVID-19 melalui solidariti dan daya tahan sektor ini dalam usaha pemulihan sosiekonomi yang adil dan saksama.
"Di Malaysia kita dapat lihat gerakan koperasi menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat biarpun terkesan dengan pandemik ini. Jati diri gerakan koperasi tulen yang berpegang teguh kepada tujuh prinsip utama menzahirkan semangat kebersamaan menerusi amalan ‘Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama’ bagi membina dan memulihkan semula aktiviti keusahawanan dan sosial," katanya dalam satu kenyataan.
Statistik gerakan koperasi negara sehingga bulan Disember 2020 mencatatkan sejumlah 14,629 buah koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 6.5 juta orang, jumlah modal syer/ yuran sebanyak RM15.8 bilion dan jumlah aset RM150.5 Bilion (Sumber statistik: Suruhanjaya Koperasi Malaysia).
Malah jika dilihat hanya sedikit perbezaannya jumlah perolehan yang disumbangkan oleh gerakan
koperasi pada tahun 2021 iaitu RM41.5 Bilion berbanding RM45.8 Bilion pada tahun 2020.
"Ini jelas menunjukkan gerakan koperasi merupakan satu institusi yang amat berdaya tahan walaupun
menghadapi beberapa krisis ekonomi yang telah memberi impak kepada penduduk dunia.
"Saya yakin sekiranya usaha menangani pandemik ini berjalan lancar menerusi Program Imunisasi
COVID-19 Kebangsaan, gerakan koperasi akan mempunyai peluang menyumbang RM60 Bilion
kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025 bagi menjayakan Pelan
Transformasi Koperasi Malaysia 2021 hingga 2025 (TransKom) dan Dasar Keusahawanan
Nasional 2030 (DKN2030) yang dihasratkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan
Usahawan dan Koperasi (MEDAC)," ujarnya.
"Saya mewakili kepimpinan tertinggi ANGKASA dan warga koperasi seluruh Malaysia
mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana turut menyenaraikan koperasi
sebagai penerima inisiatif melalui Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)
yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 28 Jun 2021," kata Abdul Fattah.
Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi yang diperuntukkan berjumlah
RM20 juta bagi menggalakkan usahawan yang terjejas pendapatan menjalankan aktiviti ekonomi
secara berkumpulan menerusi koperasi termasuk pemasaran produk dan perkhidmatan melalui
platform dalam talian amat bertepatan bagi mempergiatkan semula penerokaan peluang
perniagaan baharu.
ANGKASA kata beliau, giat menyarankan koperasi untuk mempelbagaikan perniagaan dan melibatkan diri
dalam sektor pemborongan dan peruncitan melalui Projek Barang Asas 100 (BA100).
Menurutnya, inisiatif ANGKASA menyasarkan penglibatan 3,000 buah koperasi pada tahun ini sebagai usaha menggalakkan perniagaan berasaskan pendigitalan untuk menggerakkan perniagaan koperasi
melalui tawaran penjualan barangan asas dengan harga berpatutan melalui platform
JiMATbiz.com untuk koperasi yang menjalankan perniagaan peruncitan dan JiMATShop.com
untuk pengguna mendapatkan barang keperluan harian secara dalam talian. - DagangNews.com