Antara berita palsu dengan penapisan fakta: Pertempuran media sosial dalam PRN 2023 | DagangNews Skip to main content

Antara berita palsu dengan penapisan fakta: Pertempuran media sosial dalam PRN 2023

Oleh Mohamed Shafiq Ayub

ADAKAH berita palsu semakin menular di ambang Pilihan Raya Negeri? Bagaimana penapisan fakta dilakukan oleh pihak tertentu?

 

Pemimpin dan parti bertanggungjawab mendidik serta menitipkan nilai dan amalan politik baik ke dalam pemikiran serta jiwa penyokong, pengikut dan pengundi.

 

Tidak salah jika parti politik bekerja keras membentuk dan membina pengikut fanatik terhadap pemimpin atau partinya, namun soalnya bagaimana?

 

Pemimpin dan parti bertanggungjawab perlu berusaha membentuk pemikiran penyokong dan pengikut berpegang kepada fakta, kebenaran serta nilai.

 

Teknologi di hujung jari menyebabkan rakyat Malaysia cepat mendapat pelbagai maklumat yang dihidangkan lambakan maklumat dengan pantas dan mudah.

 

Bagaimanapun, semua maklumat diterima kadang kala diragui kesahihannya. Rata-rata pengguna internet di Malaysia mempunyai beberapa akaun media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Tiktok dan Instagram.

 

Hal ini demikian, segala jenis maklumat berkaitan isu semasa dan semua maklumat dan fakta diterima dikitar kongsi secara maksimum untuk memastikan capaiannya kepada pengguna.


 

irsyad

 


Perkara ini perlu diakui, peningkatan kes masalah kesihatan mental di Malaysia sedikit sebanyak berpunca media sosial. Antara yang banyak menyerang masyarakat seperti kemurungan dan kecelaruan.

 

Banyak perkara negatif dan berita palsu adalah satu bentuk “ancaman” dari pelbagai aspek termasuk sosial, politik, ekonomi, perhubungan kaum serta agama.

 

Tidak semua berita yang dibaca itu adalah fakta sebenar, terutamanya berita yang ditularkan dalam media sosial. Hasil daripada statistik negara melalui hasil kajian Laporan Digital 2019, Malaysia merupakan negara kelima di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara yang paling aktif dalam media sosial.

 

Pada masa ini, terdapat segelintir masyarakat yang menjadikan  media sosial sebagai platform untuk menyebarkan berita dan maklumat palsu yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada individu, keluarga, komuniti setempat, masyarakat dan negara. Perbuatan ini boleh  membawa impak negatif terhadap minda dan kehidupan masyarakat.

 

Setiap berita atau maklumat yang diterbitkan atau dikongsi terutamanya menerusi media sosial perlu dipastikan kesahihannya terlebih dahulu. Sikap mengambil jalan mudah dan tidak bertanggungjawab pengamal media sosial akan menyumbang kepada tersebarnya berita palsu.

 

Dengan menggunakan media elektronik, setiap berita palsu akan tersebar dan ditularkan dengan pantas.

 

Semakin maju teknologi sesebuah negara,  peratusan berlakunya penyebaran berita palsu juga akan semakin meningkat.

 

Agensi kerajaan akan menghadapi rintangan dan cabaran dalam memastikan setiap maklumat atau berita yang dikongsi di media sosial adalah benar. Jangan jadikan media sosial sebagai tempat gurauan dengan menyebarkan berita palsu.


 

irsyad

 


Malaysia kini sedang hangat memperkatakan isu politik negara yang melibatkan pemilihan ahli politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

 

Telah menjadi perkataan mudah dan senang di sebut  'Tidak pasti, jangan kongsi', menjadi ungkapan sering digunakan sebagai peringatan kepada mana-mana individu untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu atau maklumat yang diragui kesahihannya.

 

Namun, penyebaran berita palsu mahupun berbaur fitnah dan hasutan melalui media sosial serta internet seiring per kembangan era pendigitalan, bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi serata dunia.

 

Lagi-lagi bagi mereka yang fanatik politik. PRN menjadi platform rasmi pertama menguji kerjasama PH dan BN pada pilihan raya untuk berdepan PN yang mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu.

 

Tidak syak lagi, PRN didapati lebih awal memulakan kempen agar tidak gagal membentuk kerajaan negeri. Penerimaan orang ramai terhadap media sosial membuatkan mereka sentiasa menjadikan setiap maklumat diperoleh sebagai sesuatu yang serius.

 

Kebanyakan perkara akan menjadi serius apabila tanpa mahu merujuk kepada sumber sahih atau penafian sesuatu kandungan tidak tepat termasuk menerusi portal sebenarnya.

 

Kerajaan Malaysia telah banyak memberi penekanan dan laluan untuk penyelesaian masalah media yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

Namun, berita palsu tetap tersebar dengan fakta yang tidak konkrit. Berdasarkan statistik lalu, MCMC menerima sebanyak 3,111 aduan mengenai kandungan yang dianggap sebagai berita palsu bagi tempoh 2020 hingga 31 Mei 2022.


 

parafrasa

 


Kejadian ini bakal akan membuahkan cerita panas di mana telah berlaku juga penyebaran berita palsu serta berbaur provokasi dalam talian ketika tempoh kempen ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang diadakan tahun lalu.

 

Impaknya, tempoh 48 jam yang berbaki untuk berkempen, wujud pelbagai berita palsu yang sengaja direka oleh pelbagai pihak untuk menarik perhatian pengundi.

 

Usah dipandang enteng terhadap perkara ini kerana ia melibatkan maruah negara. Ibarat peribahasa Melayu “kerana setitik nila, rosak susu sebelanga”. Cabaran rakyat juga untuk menapis semua berita palsu dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum sahih diterima.

 

Selain itu, amalan 'kewartawanan awam' tidak berbayar dalam kalangan warga maya seiring perkembangan teknologi dan kepelbagaian platform media sosial juga menyumbang kepada pertambahan dan penularan berita palsu.

 

Sekiranya seseorang warga maya memainkan peranan sebagai 'wartawan' tanpa memahami etika dan amalan pemberitaan yang betul, ia boleh memberi kesan kepada tahap integriti bahan yang disebarkan.

 

Begitu juga bagi wartawan yang mencuba membuat penulisan untuk menyampaikan maklumat. Penulisan status, komen, ciapan, siaran gambar, poster, 'meme' atau video yang dibuat tanpa memahami faktor sosio budaya dan sensitiviti kaum boleh mengakibatkan timbulnya rasa tidak senang, terhina atau tersinggung.

 

Dunia digital kini makin besar cabarannya di mana tersilap kata buruk padahnya. Keadaan menjadi lebih teruk jika ia kemudian menjadi punca perbalahan, pergaduhan atau rusuhan dalam kalangan masyarakat yang hidup aman damai lagi harmoni.

 

Sehubungan itu, adalah penting untuk setiap pengguna melakukan penyelidikan terhadap sebarang maklumat yang diterima mereka menerusi media sosial.


 

parafrasa

 


Buat kajian terlebih dahulu jika perkongsian membabitkan rantaian maklumat dan pastikan kesahihannya supaya jangan disebarkan maklumat tidak benar. Ini kerana bahan-bahan berbentuk spekulasi, tuduhan dan penghinaan juga boleh memberi impak dan kesan besar kepada negara.

 

Di sini peranan media yang melaporkan pemberitaan yang berwibawa amat diperlukan dalam mendidik orang ramai supaya lebih berwaspada ketika menyebarkan maklumat dalam era digitalisasi.

 

Media juga boleh membantu kerajaan untuk mengubah cara masyarakat menerima berita sahih iaitu dengan menyemak fakta terlebih dahulu sebelum ia disebarkan.

 

Justeru, konsep 3R iaitu Research (Penyelidikan), Responsibility (Bertanggungjawab) dan Report (Lapor) wajar menjadi teras dan perlu sentiasa dibudayakan sebelum berkongsi sebarang maklumat di media sosial.

 

Ini supaya orang ramai mempunyai kesedaran tinggi bahawa perkongsian berita atau maklumat palsu bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi individu atau pihak tertentu malah boleh memberi kesan ke pada ekonomi, keselamatan dan keamanan negara.

 

Fakta, kebenaran dan nilai tidak pernah berubah, malah bersifat mutlak merentas agama dan kaum. Hal ini kerana fakta dan kebenaran menjadi sesuatu ideologi parti itu terus bertahan serta bertapak kukuh dalam sanubari rakyat.

 

Pada asasnya, dalam sebuah negara demokrasi, semua parti memiliki ideologi politik yang baik dan bermatlamat mensejahterakan hidup rakyat. Atas sebab itulah, perjuangan sesebuah parti itu pada awalnya mendapat sokongan dan mandat penyokong, pengikut dan pengundi.

 

Ahli politik perlu menghindarkan diri daripada menyebarkan berita palsu menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) tegas Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.


 

parafrasa

 


Beliau yang juga menyatakan pada kebiasaannya menjelang pilihan raya, banyak berita yang tidak tepat dan tidak benar atau berita palsu akan timbul.

 

Dalam pada masa yang sama, beliau  memberi kata-kata yang positif dengan mengingat sebagai Ahli Parlimen, wakil rakyat atau ahli politik kita semua adalah rakyat Malaysia, jadi janganlah buat apa-apa yang boleh merosakkan negara tercinta. Jelasnya dalam segmen program TV1.

 

Begitu juga, peringatan beliau kepada rakyat Malaysia agar memainkan peranan untuk sama-sama membantu memerangi penyebaran berita palsu bagi mengekalkan semangat perpaduan di negara ini.

 

katanya "Saya harap semua rakyat Malaysia bantu kami untuk perangi berita palsu, janganlah kita biarkan berita palsu membawa kepada kerosakan kekal terhadap perpaduan kita. Meskipun berbeza pendapat tetapi (ia) tidak sepatutnya memberi kesan negatif atau menjejaskan hubungan kita sesama rakyat di negara ini." 

 

Dalam sorotan berita BERNAMA pula, beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia pelbagai latar belakang bangsa dan agama sememangnya berbangga dan perlu ada semangat patriotik bukan hanya pada Hari Kebangsaan atau Bulan Kebangsaan sahaja.

 

Kewujudan pelbagai aplikasi media sosial dan kepantasan Internet dengan liputan yang semakin meluas menyebabkan usaha menangani berita palsu semakin mencabar dan berisiko menggugat kedudukan media arus perdana sebagai sumber maklumat sebenar.

 

Di Malaysia, tahap kebimbangan terhadap penularan berita palsu adalah tinggi berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Global Risk Journalism Hub, sebuah jaringan penyelidikan antarabangsa, iaitu di tempat ketiga di Asia Selatan dengan 77 peratus, di belakang Thailand (82 peratus) dan Filipina (88 peratus).

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan petugas khas dalam usaha menangani penyebaran berita palsu sejak  tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


 

parafrasa

 


Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa telah menubuhkan satu pasukan bertujuan mengambil tindakan serta-merta tanpa perlu menunggu laporan daripada mana-mana pihak.

 

Perlu diingat, sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang di sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau pen jara setahun atau kedua-duanya sekali. – DagangNews.com

 

Mohamed Shafiq Ayub adalah Pensyarah  Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) UiTM Cawangan Negeri Sembilan