Anugerah Kreativiti@Sekolah MDEC Iktiraf Bakat Muda Pembangunan Animasi dan Permainan | DagangNews Skip to main content

Anugerah Kreativiti@Sekolah MDEC Iktiraf Bakat Muda Pembangunan Animasi dan Permainan

 

KUALA LUMPUR 6 Feb - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru-baru ini berjaya menganjurkan Anugerah Kreativiti @ Sekolah, sekaligus menandakan berakhirnya program berkenaan bagi tahun lepas yang bertujuan untuk mengembangkan kemahiran dan bakat dalam bidang kandungan kreatif digital dalam kalangan pelajar sekolah.

 

Pertandingan edisi 2020 menyaksikan lebih daripada 700 peserta dari 40 sekolah di seluruh negara bersaing untuk menunjukkan bakat masing -masing dalam pembangunan animasi dan permainan.

 

Pertandingan  berkenaan dibahagikan kepada dua kategori  iaitu animasi dan permainan. Bagi kategori animasi atau dikenali sebagai Anugerah Animasi Kre8tif @ Sekolah menyaksikan Adam Auza'i Mohamad Zaper dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, Perlis muncul sebagai pemenang manakala Airil Hariz Zolkefli dari SMK Seksyen 5 , Wangsa Maju, Kuala Lumpur mengungguli kategori permainan atau LEVEL UP @ Schools Game Awards.

 

Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai tunai sebanyak RM3,000 serta sijil  manaka sekolah mereka masing-masing menerima 5 tablet Wacom.

 

“Saya merasa gembira kerana berjaya muncul juara LEVEL UP @ Schools Award. Saya berharap dapat menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari dalam  LEVEL UP@Sekolah kerana ia mengajar pelbagai kemahiran seperti muka pengguna (user interface), teknologi user experience dan rekaan bunyi.

 

"Pertandingan ini juga memberi pendedahan kepada saya mengenai idea dalam membangunkan perisian permainan. Ini mungkin akan menjadi bidang yang ingin dipelajari secara serius pada masa hadapan,” kata Airil Hariz.

 

“Pengetahuan dan kemahiran dalam produksi animasi yang dipelajari semasa program Kre8tif @Sekolah sangat membantu untuk mendalami aspek penghasilan dalam bidang animasi 3D, rendering dan pembinaan karakter. Ini juga telah meningkatkan minat saya dan kejayaan dalam pertandingan ini dianggap sebagai bonus jika dibandingkan dengan pendedahan yang diperolehi,” kata Adam Auza'i.

 

KreativitI@ Sekolah merupakan pertandingan tahunan dianjurkan MDEC. Program ini diperkenalkan untuk memberi inspirasi dan memupuk kreativiti di kalangan anak muda tempatan dalam animasi, kesan visual dan reka bentuk permainan. Ini seterusnya akan meningkatan kemasukan pelajar ke peringkat pengajian tinggi membabitkan kursus kandungan kreatif serta menyediakan tenaga kerja untuk generasi IP baharu. Kreativiti @Sekolah memperkenalkan dua program utama iaitu LEVEL UP @ Sekolah dan Kre8tif! @ Sekolah.

 

LEVEL UP @Sekolah adalah program pengembangan permainan untuk memberi kesedaran dan minat terhadap ekosistem pembangunan permainan. Ia diperkenalkan pada 2016 untuk memupuk bakat masa depan dan mendorong pendaftaran dalam bidang pengembangan permainan di peringkat universiti.

 

Kre8tif! @ Sekolah pula merupakan program animasi untuk memberi inspirasi serta memupuk kreativiti di kalangan anak muda Malaysia telah mula diperkenalkan pada 2019. Program ini mendidik dan memupuk minat dalam animasi sambil mendorong pendaftaran dalam kursus berkaitan di peringkat pengajian tinggi.

 

“Program Kreativiti @ Sekolah  sangat penting dalam menjelaskan  usaha MDEC untuk mengembangkan bakat dan minat terhadap bidang kreatif digital di kalangan pelajar. Saya ingin menekankan kepentingan untuk meletakkan asas bermula peringkat awal bagi memastikan Malaysia mempunyai bakat yang relevan untuk menyokong industri kandungan kreatif digital. Ini selari dengan  inisiatif seperti pemberian Dana Kandungan Digital yang memberi sumbangan bermakna dalam usaha mengembangkan industri kandungan digital tempatan yang mana ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi digital MDEC,” kata Naib Presiden Perniagaan Digital, MDEC, Gopi Ganesalingam.

 

"Menerusi asas dan minat kukuh yang dipupuk pada fasa awal terhadap pelajar dalam bidang kandungan kreatif digital, MDEC  akan dapat membangunkan kumpulan bakat secara berterusan untuk meningkatkan dan mengembangkan industri ini dan seterusnya  membantu Malaysia menjadi hab kandungan kreatif digital dan mencapai hasrat Malaysia Nadi Digital ASEAN,” tambahnya.

 

Maklumat lanjut mengenai KreativitI@Sekolah dan anugerah yang diberikan MDEC termasuk senarai lengkap pemenang boleh didapati dengan melayari laman web https://mdec.my/kre8tif/creativity-at-schools-animation-award-winners-list/

 

Dalam usaha berterusan untuk memelihara dan mengembangkan industri Kandungan Kreatif Digital tempatan, MDEC meningkatkan usahanya dengan menyediakan peluang, peralatan, sumber kemahiran serta bantuan kewangan untuk membantu perniagaan industri ini berkembang dan menjadi pemimpin industri yang kompetitif.

 

Salah satunya ialah Geran Kandungan Digital yang merupakan inisiatif di bawah Program Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk menyokong syarikat kreatif digital tempatan terus berkembang, menghasilkan, memproduksi secara bersama dan memasarkan kandungan digital mereka. Maklumat lanjut boleh didapati di https://mdec.my/digital-economy-initiatives/for-the-industry/entrepreneurs/digital-creative-content/  - DagangNews.com