Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa mempengerusikan Mesyuarat Menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) APEC secara maya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - GAMBAR APEC
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ke-26 (APEC) mencapai kata sepakat mengenai kepentingan proses pendigitalan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) kerana akan membantu MSME pulih serta membina daya tahan dalam persekitaran pandemik COVID-19.
Pengerusi Mesyuarat Menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) APEC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, negara anggota APEC yang mengambil bahagian dalam mesyuarat itu menyatakan betapa penting peranan pendigitalan, inovasi dan teknologi dalam membina daya tahan MSME.
"Kami sedar betapa pentingnya kerjasama dalam memudahkan aliran data dan memperkukuhkan kepercayaan pengguna dan perniagaan dalam urus niaga digital.
"Kami juga membincangkan mengenai amalan terbaik dalam mengurangkan kesan akibat pandemik COVID-19 dalam kalangan MSME serta proses pendigitalan MSME untuk kebiasaan baharu yang inklusif dan mampan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu, lapor Bernama pada 23 Oktober lalu.
Wan Junaidi berkata negara anggota APEC menganggap MSME sebagai sektor penting dalam ekonomi, kerana selain menyumbang antara 40% hingga 60% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia juga menyumbang tenaga kerja.
Beliau berkata, banyak negara memberi pengecualian cukai, subsidi upah, pengurangan kadar feadah, pinjaman, kemudahan pembiayaan semula, serta subsidi untuk membantu meneruskan kelangsungan perniagaan bagi menghadapi krisis.
"Selain membabitkan langkah fiskal ini, APEC harus bekerjasama untuk mempromosikan dan menggalakkan peralihan MSME ke dalam ekonomi digital baharu," katanya.
Wan Junaidi berkata, ketika Malaysia menjadi tuan rumah bagi APEC 2020, usaha yang lebih bersepadu oleh negara anggota APEC dijangka dapat terus mempromosikan perdagangan dan pelaburan bebas, adil serta terbuka di antara negara.
Katanya, ini terutama dalam meningkatkan pertumbuhan dan memperkukuhkan daya tahan dakam rantaian bekalan global (GVC).
Menteri-menteri di Mesyuarat PKS APEC menyokong Pelan Strategik Kumpulan Kerja APEC PKS 2021-2024 yang menetapkan objektif dalam lima bidang keutamaan.
Bidang itu ialah keusahawanan, inovasi dan syarikat mula niaga, akses PKS ke pasaran antarabangsa dan GVC; pembangunan keupayaan inklusif ke arah pendigitalan; akses kepada kewangan dan penyelesaian kewangan alternatif; serta interaksi antara kerajaan dan perniagaan. - DagangNews.com