Apex Healthcare langgan 40% kepentingan dalam syarikat usaha sama Shanghai Pharmaceutical pada harga RM3.9 juta  | DagangNews Skip to main content

Apex Healthcare langgan 40% kepentingan dalam syarikat usaha sama Shanghai Pharmaceutical pada harga RM3.9 juta 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Sept - Apex Healthcare Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya di Singapura, First SGC Pte Ltd (FSGC) melanggan 40% kepentingan dalam syarikat usaha sama dengan Shanghai Pharmaceutical Import & Export Co Ltd pada harga S$1.2 juta (RM3.9 juta).

 

Ini menyaksikan FSGC memeterai perjanjian langganan dan pemegang saham (SSA) dengan anak syarikat milik penuh Shanghai Pharmaceuticals Holding Co. Ltd., (SPH) itu yang diperbadankan pada 1994 di China.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Apex Healthcare berkata, Shanghai Pharmaceutical akan memiliki baki 60% daripada syarikat usaha sama, yang masih belum diperbadankan.

 

Katanya, cadangan itu adalah untuk mengkomersialkan farmaseutikal berjenama, produk penjagaan kesihatan pengguna dan peranti perubatan daripada Kumpulan SPH dan Apex Healthcare di bawah jenama yang dimiliki syarikat usaha sama itu di negara ASEAN terpilih dan pasaran antarabangsa yang lain.

 

"Hubungan komersial antara Apex Healthcare dan SPH dalam bentuk cadangan usaha sama adalah tepat dan mengukuhkan tawaran semasa dan masa hadapan Apex bagi produk farmaseutikal generik generasi baharu kepada pelanggan.

 

"Perancangan SPH seterusnya bagi ubat-ubatan inovatif dan biosimilars membolehkan Apex Healthcare memulakan langkah dalam menawarkan produk farmaseutikal inovatif dan baharu kepada pasaran ASEAN," katanya.

 

SPH merupakan salah satu kumpulan farmaseutikal terkemuka di China yang mempunyai dua penyenaraian di Shanghai dan Hong Kong.

 

Pada 2021, ia merekodkan pendapatan dan keuntungan selepas cukai masing-masing sebanyak 215.824 bilion renminbi (RM142.3 bilion) dan 6.275 renminbi (RM4.13 bilion), dan berada dalam kedudukan ke-437 dalam syarikat Fortune Global 500. 

 

Diterajui oleh Institut Penyelidikan Pusat SPH dengan lebih 1,000 kakitangan, strategi Penyelidikan & Pembangunan (R&D) kumpulan memberi fokus kepada kedua-dua ubat yang inovatif dan generik.

 

Dari segi pengedaran, SPH mengendalikan rantaian bekalan farmaseutikalnya di seluruh China untuk produknya sendiri serta syarikat farmaseutikal luar, secara langsung meliputi hampir 32,000 institusi penjagaan kesihatan di 24 wilayah.

 

Apex Healthcare menjangkakan cadangan usaha sama itu tidak memberi kesan kepada modal saham dan pemegangan utama kumpulan kerana ia tidak membabitkan sebarang terbitan saham baharu.

 

Ia juga dijangka tidak memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih dan penggearan Apex Healthcare bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. - DagangNews.com