Gaji minimum baharu, caruman KWSP pekerja asing dijangka beri kesan kurang 1.5% kepada untung bersih IOI Corp | DagangNews Skip to main content

Gaji minimum baharu, caruman KWSP pekerja asing dijangka beri kesan kurang 1.5% kepada untung bersih IOI Corp

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov - IOI Corp Bhd menjangkakan semakan gaji minimum baharu kepada RM1,700 daripada RM1,500 serta caruman mandatori pekerja asing kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi kesan kurang 1.5% daripada keuntungan bersih tahunan kumpulan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif IOI, Datuk Lee Yeow Chor berkata, tekanan kewangan daripada kos tambahan yang akan ditanggung daripada dasar itu "boleh diurus".

 

“Ini kerana faktor seperti levi untung durian runtuh pengeluaran tandan buah segar (BTS) yang akan dinaikkan masing-masing kepada RM3,150 untuk Semenanjung Malaysia dan RM3,650 Sabah dan Sarawak.

 

“Selain itu, harga minyak sawit mentah (MSM) telah meningkat dengan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya.

 

Kumpulan itu kini menggaji kira-kira 16,000 hingga 18,000 pekerja asing mencadangkan kerajaan melaksanakan caruman pekerja asing kepada KWSP secara beransur-ansur, bermula daripada kadar caruman 2%.

 

Kumpulan itu juga menyeru kerajaan untuk melibatkan diri dengan pekerja asing bagi melaksanakan dasar itu dengan lebih baik dan memastikan polisi itu akan memanfaatkan pekerja asing. 

 

“Kita mesti faham keadaannya berbeza dengan pekerja asing. Sesetengah daripada mereka mungkin berkhidmat selama dua hingga empat tahun sahaja, iaitu tempoh yang sangat singkat.

 

“Bagi pekerja asing yang sudah berada di negara ini, caruman boleh bermula pada 2% dan secara beransur-ansur meningkat kepada 11%.

 

Butiran lanjut berkaitan caruman KWSP masih belum diumumkan berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Belanjawan 2025, apabila beliau berkata cadangan itu "akan dilaksanakan secara berperingkat".

 

Sementara itu, IOI juga telah menghubungi dan mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi mengenai penyediaan sokongan kepada pekebun kecil, termasuk menyediakan benih dan baja berkualiti tinggi untuk membantu mereka memenuhi piawaian kelestarian.- DagangNews.com