Ketirisan Integriti: Sejauh mana ia membarah? | DagangNews Skip to main content

Ketirisan Integriti: Sejauh mana ia membarah?

Oleh Siti Azrina Adanan

BILA berbicara tentang integriti, ia selalu dikaitkan dengan amalan rasuah.

 

Namun, konsep integriti adalah lebih luas dimana ia merangkumi pelbagai aspek termasuk sifat jujur, kepercayaan, dan etika dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

 

Tidak dapat disangkal lagi integriti adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara dan organisasi yang makmur, harmoni dan berjaya.  

 

Apabila sikap integriti semakin terhakis, kesan negatifnya bukan sahaja dapat dilihat pada individu yang terlibat, tetapi juga kepada keseluruhan organisasi malahan juga negara.

 

Ketirisan integriti adalah masalah serius yang boleh menghambat kemajuan dan merosakkan reputasi serta kestabilan sesebuah organisasi dan negara.

 

Ia boleh diumpamakan seperti barah yang menyerang secara senyap, tetapi kesannya merosakkan bukan sahaja satu entiti, malahan seluruh rangkaian dalam sesuatu sistem jika tiada langkah pencegahan awal yang efektif.

 

Ketirisan integriti yang gagal ditangani mampu melumpuhkan keseluruhan struktur sosial, ekonomi, sistem keadilan dan sistem politik. Ia telah dibuktikan sejak dulu lagi dengan kejatuhan beberapa empayar utama di dunia.

 

Di sini kita dapat lihat betapa seriusnya kesan domino yang dibawa oleh ‘barah’ ini. Antara kesan langsung dan tidak langsung yang dapat dilihat adalah:

 

Ketidakcekapan dalam Pengurusan Sumber

Antara kesan langsung ketirisan integriti ialah ketidakcekapan dalam pengurusan sumber yang membawa kepada kelemahan pengurusan dana awam.

 

Dana awam yang tidak diurus dengan baik akan menyebabkan ketidakadilan agihan peruntukan khususnya  yang melibatkan beberapa sektor utama negara seperti sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

 

Ini terbukti apabila setiap kali Laporan Ketua Audit Negara diterbitkan, isu pembaziran dana awam akan sentiasa menjadi dapatan yang seolah-olah tiada tindakan susulan dan penambahbaikan yang diambil.

 

Oleh itu, mulai Oktober 2024, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengarahkan semua ketua jabatan melaksanakan pusingan kerja bagi mengurangkan masalah ketirisan dana awam dan salah guna kuasa.

 

Perlaksanaan pusingan kerja ini juga mendapat sokongan penuh dari Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang bersetuju praktis ini dapat membantu dalam mengurangkan potensi salah urus sumber ini.

 

Jika dipandang dari perspektif yang lain, ketirisan integriti juga dapat membawa kepada amalan pilih kasih atau nepotisme yang biasanya berlaku dalam proses pengambilan pekerja yang baru.

 

Sering kali terjadi calon yang kurang kompeten dan tidak memberi nilai tambah kepada organisasi yang berjaya direkrut sekaligus menidakkan hak calon yang lebih layak.

 

Kesannya susah pasti dapat dilihat dalam masa  jangka panjang di mana objektif organisasi tidak dapat dicapai dan tidak dapat bersaing dengan pesaing yang lebih inovatif dan kreatif dalam menjalankan operasi.

 

Kemerosotan Ekonomi

Ketirisan integriti, terutamanya dalam bentuk rasuah dan penyelewengan, boleh membawa kepada kemerosotan ekonomi sesebuah negara.

 

Apabila sumber awam seperti dana kerajaan atau projek infrastruktur diselewengkan untuk kepentingan peribadi, ia mengurangkan peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk manfaat awam.

 

Sebagai contoh terdapat kertas siasatan yang dibuka melibatkan penipuan pelaburan yang dikatakan bertujuan sebagai suntikan modal untuk merangsang ekonomi negara namun ianya hanya diwujudkan untuk kepentingan sekelompok individu.

 

Dalam kes lain, projek-projek terbengkalai akibat penyelewengan dana juga tidak kurang banyaknya. Ia sudah pasti membazirkan sumber negara dan mengakibatkan rakyat kehilangan peluang untuk menikmati infrastruktur yang sepatutnya memberi kemudahan kepada mereka.

 

Ia juga membawa kepada kesan tidak langsung yang lain seperti hilangnya peluang pekerjaan dan mengurangkan keyakinan pelabur dalam sektor pembangunan yang akhirnya mengurangkan aliran masuk modal dan merencatkan pertumbuhan ekonomi.

 

Oleh itu, pihak tertentu terutamanya kerajaan patut mengambil langkah menghentikan amalan yang dapat dikaitkan dengan ketirisan integriti ini. Sebagai contoh, budaya perolehan secara rundingan terus yang dilihat sebagai barah utama di dalam ekonomi Malaysia patut dihentikan dan ini adalah satu matlamat Perdana Menteri yang tegas dalam memerangi amalan rasuah.

 

Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang telah dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Oktober 2024 juga ada menyatakan kepentingan kerajaan untuk memperkukuh integriti institusi serta meningkatkan akauntabiliti sektor awam bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kemajuan pembangunan negara.

 

Kerosakan Reputasi dan Keyakinan

Ketirisan integriti juga memberi kesan yang besar kepada reputasi negara dan organisasi. Apabila ketirisan berlaku, kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan atau organisasi tersebut akan terjejas.

 

Sebagai contoh, apabila kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan awam terhakis, rakyat seringkali dilihat memilih jalan penyelesaian sendiri yang ternyata salah di sisi undang-undang. Rakyat juga sering memperkecilkan keupayaan agensi kerajaan dengan hantaran berupa sindiran di media sosial.

 

Salah satu indikator yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa adalah Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Barometer yang digunakan merangkumi keseluruhan aspek pengurusan sesebuah negara termasuk proses penggubalan dasar, penguatkuasaan undang-undang dan polisi ekonomi.

 

Usaha ini dipandang serius oleh bakal pelabur yang menjadikan CPI sebagai rujukan untuk membuat keputusan. Ini kerana skor CPI yang baik memberi mereka satu indikator bahawa negara tersebut mengamalkan polisi yang telus dan berintegriti yang membawa kepada keterjaminan pelaburan.

 

Kemerosotan Kualiti Perkhidmatan Awam

Dalam konteks sektor awam, ketirisan integriti sering mengakibatkan kemerosotan kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

 

Sebagai contoh, dalam sektor kesihatan, jika terdapat penyelewengan dalam pengurusan dana, hospital mungkin tidak mempunyai kelengkapan perubatan yang mencukupi atau kakitangan yang terlatih, yang akhirnya membahayakan nyawa rakyat.

 

Begitu juga dalam sektor pendidikan, ketirisan dana boleh menyebabkan sekolah-sekolah mengalami kekurangan bahan pembelajaran, kemudahan yang tidak memadai, dan guru yang kurang diberi latihan.

 

Semua ini akan memberi kesan negatif kepada kualiti pendidikan, sekali gus menjejaskan peluang generasi muda untuk mencapai kecemerlangan.

 

Data yang diperoleh dari laman web SPRM merekodkan statistik tangkapan yang melibatkan penjawat awam semakin membimbangkan apabila jumlah tangkapan pada Januari sehingga September 2024 mencatatkan 517 orang berbanding 368 orang dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

 

Ini merupakan peningkatan sebanyak 40.49% di mana angka ini memberi tanggapan negatif terhadap penjawat awam khususnya yang melibatkan agensi penguatkuasaan negara.

 

Bagi memastikan usaha ini dipacu dengan baik, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru dilantik pada Ogos 2024 iaitu Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan komitmen mengetuai sendiri usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam khususnya di dalam elemen memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

 

Ini selari dengan hasrat Perdana Menteri yang ingin meletakkan negara di kedudukan ke-25 CPI dalam tempoh masa 10 tahun yang ketika ini berada di tangga ke-57.

 

Keruntuhan Moral Pekerja dan Etika Kerja

Di peringkat organisasi, ketirisan integriti boleh memberi kesan langsung kepada moral pekerja dan etika kerja.

 

Apabila seseorang pekerja seringkali melihat dan mengalami situasi ketidakjujuran dan salah laku yang tidak dihukum, ia boleh menimbulkan budaya kerja yang negatif di mana integriti tidak lagi dihormati.

 

Budaya korporat yang terjejas ini akan mengurangkan produktiviti dan mengakibatkan kadar perletakkan jawatan pekerja yang tinggi.

 

Sebaliknya, jika integriti dipelihara, pekerja akan lebih bermotivasi, dan suasana kerja akan menjadi lebih produktif serta harmonis. Etika kerja yang baik dan jitu juga akan meningkatkan prestasi organisasi secara keseluruhan.

 

Kesimpulannya, ketirisan integriti memberi kesan yang sangat buruk kepada pembangunan negara dan organisasi. Ia merosakkan ekonomi, reputasi, kestabilan politik, dan moral masyarakat serta pekerja.

 

Oleh itu, usaha untuk membanteras ketirisan integriti perlu dilaksanakan secara berterusan melalui penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan penerapan etika yang baik, dan pengawasan yang lebih ketat di semua peringkat.

 

Dengan menjadikan integriti sebahagian dari cara hidup, kesejahteraan jangka panjang yang menguntungkan semua pihak akan dapat dilihat dan sudah pasti ia sesuatu yang hanya akan berjaya direalisasikan dengan penglibatan semua pihak. - DagangNews.com

 

 

Siti Azrina Binti Adanan adalah Penyarah Kanan Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka