KUALA LUMPUR 24 Jun - Apex Securities Bhd memulakan liputan terhadap Westports Holdings Bhd dengan penarafan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM5.08 sesaham.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan bersih teras pengendali pelabuhan itu berkembang kira-kira 8% pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) dan 4% pada FY25 didorong prospek pemulihan dalam perdagangan luar dan antarabangsa.
Katanya, ia juga disokong oleh daya tahan ekonomi domestik dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).
Ia berkata, Westports bernilai RM5.08 (21.2% potensi peningkatan daripada harga semasa), dan penilaian itu berdasarkan kaedah harga sasaran aliran tunai terdiskaun, dengan andaian utama kos purata wajaran modal sebanyak 5.8%.
Apex Securities berkata, nilai saksama yang ditetapkan juga sepadan dengan nisbah harga pendapatan hadapan dua tahun sebanyak 18 kali.
“Berdasarkan metrik penilaian kami, ia mewakili potensi peningkatan sebanyak 21.2% daripada harga saham semasa RM4.19,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, risiko utama termasuk persaingan serantau yang sengit, yang menimbulkan cabaran bagi Westports.
Terletak di sepanjang Selat Melaka, kumpulan itu telah bersaing dengan pelabuhan di Singapura dan Thailand selama lebih tiga dekad.
“Sejak kebelakangan ini, semua pesaing serantau secara agresif mengembangkan kapasiti mereka bagi menampung jumlah pemprosesan yang lebih tinggi.
"Perkembangan pesaing yang lebih pantas daripada jangkaan untuk menangkap lebih banyak daya pengeluaran berpotensi mencairkan bahagian pasaran Westports," katanya.- DagangNews.com