Apex Security beri saranan 'langgan' terhadap EPB Group, TP 66 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Apex Security beri saranan 'langgan' terhadap EPB Group, TP 66 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Apex Security memberikan saranan 'langgan' terhadap EPB Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Ogos 2024 dengan harga sasaran (TP) 66 sen sesaham.

 

Saranan itu adalah berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) teras FY24 dan FY25 sebanyak 3.6 sen serta 4.8 sen kepada pendapatan (PE) sebanyak 14x, membawa kepada niai wajar sebanyak 66 sen, peningkatan 17.9% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Firma penyelidikan itu berkata, sasaran PE yang ditetapkan mewakili kira-kira 15% premium kepada rakan setara terpilih seperti BP Plastics Holdings, Thong Guan Industries dan SLP Resources, yang terlibat dalam pembungkusan makanan.

 

Premium kepada rakan setara terpilih adalah wajar atas beberapa faktor dengan margin EPB adalah kira-kira dua kali lebih tinggi daripada rakan setara yang dipilih.

 

"Kumpulan itu lebih terdedah kepada pasaran luar negara dan menghadapi kurang persaingan dalam menyediakan rumusan sehenti bagi pemprosesan makanan dan jentera pembungkusan.

 

"Selain itu, margin keuntungan bersih teras EPB berada pada paras 10% dan ke atas, manakala margin rakan setara terpilih berlegar sekitar 8% hingga 12%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana kedudukannya yang kukuh dalam segmen mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan, disokong keupayaan pembuatan dalaman.

 

Katanya, mereka juga lebih menonjol kerana kerjasama rapatnya dengan pelanggan, bertindak sebagai penasihat untuk meningkatkan kecekapan menggunakan mesin proprietari mereka.

 

"Satu prospek masa depan yang menjanjikan ialah inisiatif mereka dalam rumusan robotik untuk pemprosesan dan pembungkusan makanan, bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh

 

"Ini meletakkan mereka dengan baik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat dan memacu jualan dalam segmen ini," katanya.

 

Menerusi tawaran awam permulaan (IPO), kumpulan itu akan menerbitkan sejumlah 71.57 juta saham baharu termasuk tawaran penjualan 40 juta saham sedia ada oleh pemegang saham EPB kepada pelabur terpilih, serta pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui penempatan persendirian bagi mengumpulan dana sebanyak RM40.08 juta

 

Daripada RM40.08 juta yang diperoleh daripada terbitan saham baharu itu, RM24.6 juta akan digunakan untuk pembesaran kilang, RM10.5 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM8.48 juta untuk modal kerja, dan baki RM4 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com