Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$114.66 bilion pada akhir Julai 2024 - BNM | DagangNews Skip to main content

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$114.66 bilion pada akhir Julai 2024 - BNM

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$114.66 bilion (RM494.18 bilion) manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$1.17 bilion pada akhir Julai 2024, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu memberikan butiran terperinci rizab antarabangsa, yang memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF).

 

Ia turut memberikan butiran jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 

 

BNM berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$13.83 bilion.

 

Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$29.29 bilion pada akhir Julai 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

 

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

 

Sementara itu, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.49 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang. BNM berkata satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$399.9 juta.

 

"Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

 

"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

 

"Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Julai 2024 tetap boleh guna," katanya. - DagangNews.com