Astro tidak terlibat dengan editorial, kawalan kandungan Awesome TV | DagangNews Skip to main content

Astro tidak terlibat dengan editorial, kawalan kandungan Awesome TV

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - Astro Malaysia menegaskan bahawa Awesome TV tidak berada di bawah bidang kawalan kandungan mereka.

 

Pengendali televisyen satelit itu berkata, mereka tidak terlibat sama sekali dalam bidang editorial kandungan Awesome TV dan menyatakan bahawa stesen tv itu tertakluk kepada peraturan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

“Astro ingin menjelaskan bahawa Awesome TV bukan milik Astro. Astro tidak terlibat dalam editorial dan kandungan Awesome TV.

 

“Awesome TV ialah Pembekal Perkhidmatan Aplikasi Kandungan pemegang lesen percuma ke udara tertakluk kepada peraturan MCMC dan ia tidak tertakluk di bawah bidang kawalan kandungan Astro,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, Awesome TV menafikan bahawa penyampai beritanya menyampaikan berita berbaur perkauman dalam siaran berita mereka.

 

Dalam klip video yang telah tular sebelum ini, penyiar berita Awesome TV menggesa orang Melayu mengundi dalam pilihan raya umum jika mereka tidak mahu "kaum lain" menguasai politik negara, berdasarkan ulasan mereka berdasarkan kajian yang menunjukkan bahawa 80% daripada responden etnik Cina berhasrat untuk mengundi.

 

Dipercayai, ada sesetengah pihak yang berkepentingan politik, khususnya yang tidak menyokong agenda Bumiputera, telah memanipulasikan tujuan Berita 7:57 sebagai berunsur perkauman di pelbagai platform media. - DagangNews.com