Audit MYAirline tidak menunjukkan sebarang masalah kewangan, kata CAAM | DagangNews Skip to main content

Audit MYAirline tidak menunjukkan sebarang masalah kewangan, kata CAAM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Selepas menjalankan audit keselamatan selama empat hari ke atas MYAirline pada awal tahun ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak menemui sebarang tanda-tanda masalah kewangan. 

 

Pengawal selia penerbangan itu hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menggantung sijil pengendali udara (AOC) MYAirline berkuat kuasa serta-merta bagi tempoh 90 hari sementara menunggu siasatan lanjut.

 

Syarikat penerbangan tambang rendah itu telah menggantung operasinya secara tiba-tiba pada 12 Oktober lalu kerana "cabaran kewangan yang teruk". 

 

Penggantungan itu dipercayai menjejaskan kira-kira 125,000 penumpang yang telah membeli tiket sehingga tahun depan.

 

CAAM telah dikritik kerana telah melanjutkan AOC MYAirline selama dua tahun pada 9 Oktober, hanya tiga hari sebelum syarikat penerbangan tambang murah itu menggantung operasinya.

 

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata "tiada penemuan untuk menunjukkan masalah kewangan" semasa audit keselamatan yang dijalankan dari 29 Mei hingga 1 Jun 2023 bagi tujuan memperbaharui AOC syarikat penerbangan itu.

 

CAAM mengeluarkan AOC bagi memberi kuasa kepada pengendali udara untuk terlibat dalam operasi pesawat tertentu. Antara aspek utama yang dilihat sebelum mengeluarkan atau memperbaharui AOC ialah keupayaan pengendali udara bagi menjalankan operasi yang selamat.

 

CAAM berkata, sebagai sebahagian daripada audit keselamatan, pemegang AOC juga mesti menyediakan bukti kedudukan kewangan.

 

"Ini bagi memastikan pengendali udara mempunyai sumber kewangan untuk menjalankan operasi yang dirancang.

 

“Sekiranya timbul isu kewangan, pemberitahuan bertulis kepada CAAM mesti dibuat segera bagi memastikan tiada kompromi terhadap keselamatan operasi.

 

“Sehingga kini, MYAirline belum menyerahkan sebarang pemberitahuan sedemikian kepada CAAM," katanya.

 

CAAM berkata, penggantungan operasi MYAirline secara tiba-tiba, tanpa pemberitahuan awal kepada CAAM, menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan awam dan integriti keseluruhan operasi penerbangan awam di Malaysia.

 

Katanya, audit keselamatan terperinci akan dijalankan ke atas MYAirline semasa penggantungan sementara ini untuk menilai semula keupayaannya.

 

Syarikat penerbangan biasanya memerlukan dua lesen untuk beroperasi - AOC dan lesen perkhidmatan udara (ASL), yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). - DagangNews.com