KUALA LUMPUR 25 Jun - Pemaju hartanah, Avaland Bhd yang dahulunya dikenali sebagai MCT Bhd menerbitkan program nota jangka sederhana Islam (IMTN) bernilai RM1 bilion bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, program sukuk berkenaan adalah berdasarkan prinsip syariah Murabahah (melalui pengaturan Tawarruq), membolehkannya menerbitkan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI), sukuk ASEAN, sukuk berkaitan SRI dan sukuk berkaitan kemampanan ASEAN bagi antara lain membiayai, pembangunan Avaland , perolehan tanah dan perbelanjaan modal.
Katanya, program itu telah diberikan penarafan kredit jangka panjang AA3 dengan tinjauan yang stabil oleh RAM Rating Services Bhd, disokong "keterlihatan pendapatan kumpulan dipacu oleh jualannya yang belum dibilkan sebanyak RM852 juta pada 31 Mac".
Alliance Islamic Bank Bhd dan AmInvestment Bank Bhd ialah penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama untuk program sukuk tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Appolo Bello Tanco berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Alliance dan AmInvestment Bank untuk menubuhkan program sukuk pertama kumpulan itu.
"Kami percaya bahawa hasil yang akan dikumpul di bawah program ini akan memacu pertumbuhan Avaland berikutan tindak balas positif terhadap semua pelancaran baharu kami pada 2024.
"Program ini juga menandakan fasa penting dalam perjalanan kemampanan kami kerana sinergi antara prestasi kemampanan dan metrik pembiayaan kami adalah selaras dengan usaha kami ke arah menjadi pemaju hartanah mampan terkemuka sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Kelestarian kami," katanya. - DagangNews.com