Azhar Azizan dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Country View | DagangNews Skip to main content

Azhar Azizan dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Country View

Tan Sri Azhar Azizan

KUALA LUMPUR 14 Mac - Country View Berhad melantik bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan @ Harun sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutifnya.

 

Pemaju hartanah itu mengumumkan pelantikan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, semalam.

 

Azhar Harun merupakan Speaker Dewan Rakyat dari 2020 hingga 2022, dan bersara selepas Datuk Johari Abdul dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu bagi penggal parlimen semasa.

 

Beliau telah diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya pada 27 Februari 1987 dan mempunyai pengalaman luas sebagai peguam bela & peguam cara dan kini menumpukan amalannya dalam perkara litigasi yang melibatkan hak dan remedi pemegang saham, pembubaran korporat dan penerimaan; penstrukturan semula hutang korporat dan tuntutan bangunan dan pembinaan.

 

Sementara itu, keuntungan bersih Country View meningkat 37.55% kepada RM1 juta atau empat sen sesaham pada suku keempat berakhir 30 November 2022 (4QFY22) daripada RM727,000 atau tiga sen sesaham pada suku yang sama tahun sebelumnya (4QFY21), berbanding hasil yang lebih tinggi sebanyak 178.76% daripada RM24.67 juta pada 4QFY2022 daripada RM8.85 juta.

 

Hasil dan keuntungan yang bertambah baik adalah daripada bahagian pembangunan hartanahnya.

 

Untuk tahun penuh 2022, untung bersihnya menurun 54% kepada RM3.04 juta pada 2022 (FY22) daripada RM6.61 juta setahun sebelumnya (FY21), berbanding peningkatan hasil sebanyak 19.36% kepada RM81.32 juta daripada RM68.13 juta.

 

"Kumpulan akan terus memantau perkembangan global dan tempatan dengan teliti untuk kekal proaktif dan berwaspada dalam mengurangkan sebarang potensi kesan kepada perniagaan kumpulan itu.

 

“Kumpulan itu juga menjangkakan hasil dan prestasinya bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2023 diperoleh daripada hartanah yang dijual di Taman Nusa Sentral, Iskandar Puteri, Johor serta pembangunan baharu Aurora Resort Villas (ARV) di Aurora Sentral, Iskandar Puteri, Johor," katanya. - DagangNews.com