B40, M40 'pemenang' dalam Belanjawan 2023 selepas terima Sumbangan Tunai Rahmah, potongan cukai - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

B40, M40 'pemenang' dalam Belanjawan 2023 selepas terima Sumbangan Tunai Rahmah, potongan cukai - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - Golongan B40 dan M40 merupakan 'pemenang' selepas menerima peruntukan tunai bernilai RM8 bilion dan potongan cukai bagi golongan pertengahan dijangka memberi manfaat kepada pengguna swasta.

 

Aminvestment Bank Research berkata, sebanyak RM8 bilion akan diperuntukan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta penerima.

 

Katanya, isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,500 layak menerima RM2,500 bergantung kepada bilangan anak dan tambahan RM600 akan diberikan kepada isi rumah penerima STR termiskin.

 

Katanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menerima geran dan potongan cukai. 
 

"Peruntukan yang banyak bermakna terdapat keperluan untuk menyokong isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana bagi mengimbangi kesan daripada kos sara hidup yang tinggi dan komitmen untuk menyokong isi rumah yang terdedah daripada potensi kelembapan ekonomi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, bagi perbelanjaan mengurus, terdapat peningkatan sebanyak 6.2% kepada RM289.1 bilion manakala emolumen kekal sebagai perbelanjaan terbesar, dengan RM90.8 bilion atau 31.4% daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus.

 

Katanya, subsidi dan bantuan sosial mempunyai kenaikan terbesar sebanyak 39.6% kepada RM58.6 bilion berbanding bajet sebelum ini dan perbelanjaan pembangunan, terdapat peningkatan sebanyak 35.5% kepada RM97.0 bilion.

 

"Sektor ekonomi mempunyai peruntukan terbesar dengan RM55.0 bilion, iaitu 56.7% daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih tinggi dalam alam sekitar (+54.0%), tenaga & kemudahan awam (+37.3%) dan pertanian (+28.0).

 

"Berbanding sebelum ini, sektor alam sekitar mendapat kenaikan yang lebih tinggi sebanyak 14.6% kepada RM2.7 bilion," katanya.

 

Firma itu berkata, nisbah defisit fiskal dijangka mengecil kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kecil berbanding belanjawan awal sebanyak 5.2% daripada KDNK. 

 

Katanya, hasil dijangka berjumlah RM291.5 bilion, lebih tinggi daripada jangkaan sebelumnya RM272.6 bilion dengan cukai akan menjadi penyumbang terbesar kepada hasil, dengan sumbangan 74.9%.

 

"Hasil cukai pendapatan petroleum (PITA) dijangka lebih tinggi berbanding bajet sebelumnya, meningkat 12.7% kepada RM18.2 bilion," katanya. - DagangNews.com